Jualan kukuh Perodua sokong pendapatan MBM Resources, kata penganalisis

03/06/2025 - 12:09
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 3 Jun - Walaupun jualan kenderaan Perodua kekal kukuh, prospek MBM Resources Bhd (MBMR) kini dilihat lebih berhati-hati selepas syarikat itu melaporkan keuntungan bersih susut 11% dan pendapatan turun 7% bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.
TA Securities mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham MBMR dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.03, selepas keputusan 1QFY25 menunjukkan penurunan jualan kenderaan dan sumbangan rendah daripada syarikat sekutu.
"Walaupun Perodua masih menjadi penyumbang utama jualan, MBMR berdepan persaingan harga yang sengit daripada pengeluar kenderaan China dan pesaing dalam segmen penting," kata TA Research dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, MBMR mungkin akan menawarkan model baharu pada harga RM100,000 hingga RM200,000 dan merancang membuka bilik pameran Audi kos rendah di Skudai, Johor sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan syarikat.
Sementara itu, Maybank IB Research mengekalkan saranan 'tahan' untuk saham MBMR kerana dividen yang menarik melebihi 8%, hasil daripada polisi pembayaran dividen sebanyak 60%.
Walaupun keuntungan dijangka tidak banyak berubah, firma penyelidikan itu yakin dividen akan kekal stabil kerana MBMR mempunyai tunai yang kukuh.
MBMR juga dianggap sebagai saham yang stabil kerana ia terlibat dengan jenama kukuh seperti Perodua.
Maybank IB menjangkakan, MBMR akan mencapai sasaran jualan Perodua sebanyak 345,000 unit tahun ini, walaupun jualan suku pertama perlahan akibat faktor musim dan isu duti eksais yang hanya selesai pada Januari 2025.
"Jualan suku kedua 2025 mungkin masih perlahan kerana kilang akan ditutup sementara pada April dan Jun, tetapi permintaan kekal tinggi dengan lebih 80,000 unit masih dalam senarai tempahan.
"Ini menyokong prospek jualan untuk separuh kedua tahun ini," tambahnya.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM7.10.
“Kami lihat keuntungan suku tahunan MBMR masih stabil, disokong oleh permintaan tinggi terhadap Perodua," kata HLIB.
Ia menambah, jualan kenderaan Volkswagen dan Volvo dijangka lemah, tetapi akan diimbangi oleh pesanan yang memberangsangkan untuk model dari pengeluar kenderaan elektrik China, Jaecoo.
MIDF Research menjangka jualan Perodua akan terus kukuh, tetapi mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran RM5.75 kerana saham MBMR dianggap sudah berada pada nilai yang sepatutnya. - DagangNews.com
standard
