Malakoff pilih MMC Engineering bina pusat buangan terjadual RM27 juta di Terengganu

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff pilih MMC Engineering bina pusat buangan terjadual RM27 juta di Terengganu Image from: Malakoff pilih MMC Engineering bina pusat buangan terjadual RM27 juta di Terengganu liza18/08/2026 - 14:56 Taman Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Malakoff Corporation Bhd menerusi anak syarikatnya, Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) melantik MMC Engineering Sdn Bhd (MMCE) sebagai kontraktor bagi pakej kerja pembinaan bernilai RM26.85 juta untuk projek Sustainable Facility and Eco-Park Centre (SAFE-T) di Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu.

 

Pakej pembinaan itu merangkumi kerja awam, struktur, bangunan, infrastruktur dan utiliti, selain kerja berkaitan mekanikal serta elektrikal.

 

Menurut Malakoff, kerja pembinaan berkenaan akan mengambil masa selama 15 bulan bermula dari tarikh permulaan yang akan ditetapkan dalam kontrak muktamad antara AFES dengan MMCE.

 

Kontrak itu turut menetapkan tempoh tanggungan kecacatan selama dua tahun selepas kerja pembinaan disiapkan.

 

Pelantikan Kontraktor Berkaitan Dengan MMC Corporation

Malakoff berkata pelantikan MMCE dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Ini kerana MMCE merupakan anak syarikat milik penuh MMC Corporation Bhd yang merupakan pemegang saham utama Malakoff.

 

Malakoff berkata kumpulan itu tidak menjangkakan kontrak berkenaan menimbulkan sebarang risiko ketara selain risiko biasa yang berkaitan dengan projek pembinaan.

 

Antara risiko tersebut termasuk kos, tempoh pelaksanaan, penyelarasan reka bentuk, prestasi, keselamatan dan pengurusan kontrak.

 

Difahamkan, projek yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 4.02 hektar itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan buangan terjadual bagi memenuhi keperluan industri, khususnya di Wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

Fasiliti tersebut akan dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti pusat pengumpulan dan penyimpanan buangan, Loji Rawatan Effluen serta kemudahan lain yang berkaitan. 

 

Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengurusan buangan terjadual serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui peluang pekerjaan dan sokongan terhadap perniagaan tempatan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved