hamden11/08/2026 - 18:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - West River Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, West River Engineering Sdn Bhd (WRE), menerima Surat Penganugerahan (LOA) daripada China State Construction Engineering (M) Sdn Bhd (CSCEM) bagi subkontrak bernilai kira-kira RM22.56 juta.
Subkontrak itu melibatkan kerja elektrik bagi stesen pendaratan pengguna (CLS) yang merupakan sebahagian daripada pembangunan pusat data di Kawasan Perindustrian SILC, Iskandar Puteri, Johor.
Di bawah kontrak tersebut, WRE bertanggungjawab melaksanakan kerja reka bentuk, pembekalan, pelaksanaan, penyiapan, penyerahan serta penyelenggaraan kerja elektrik CLS berkenaan.
Menurut West River, nilai kontrak RM22.56 juta itu termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
CLS berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan berfasa yang lebih besar untuk Digital Hyperspace Malaysia Sdn Bhd, yang turut merangkumi bangunan CLS dua tingkat, pusat data tiga tingkat, bangunan mekanikal dan elektrik (M&E) tiga tingkat serta bangunan pejabat empat tingkat bersama kemudahan sokongan berkaitan.
Tempoh subkontrak bermula pada 20 Jun 2026 dan dijadualkan siap pada 30 Oktober 2026, selain tertakluk kepada tempoh liabiliti kecacatan selama 18 bulan bermula dari tarikh Sijil Pengambilalihan.
Pengarah Urusan West River, Lim Yong Lai berkata, kontrak tersebut mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dan pengalaman pelaksanaan projek kumpulan.
“Projek pusat data melibatkan keperluan prestasi, kebolehpercayaan dan penyelarasan yang ketat, dan kami komited untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut dengan selamat, cekap serta mengikut spesifikasi dan tempoh masa yang dipersetujui,” katanya.
Penganugerahan itu mengukuhkan penglibatan kumpulan dalam pembangunan infrastruktur elektrik pusat data, selain memperluas rekod prestasi kumpulan dalam kejuruteraan M&E.
West River turut bercadang menggunakan projek berkenaan untuk memperdalam kepakaran teknikal dan membina rekod prestasi dalam sistem elektrik pusat data.
Kumpulan itu akan terus memburu peluang bersesuaian dalam segmen infrastruktur digital, komersial, perindustrian serta kejuruteraan M&E berkaitan. - DagangNews.com






