amree21/08/2026 - 10:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos — Perniagaan konkrit siap bancuh (RMC) kini muncul sebagai enjin pertumbuhan baharu Malayan Cement Berhad, dengan permintaan daripada pembinaan pusat data (DC), bangunan industri dan projek infrastruktur dijangka terus mengukuhkan sumbangan segmen itu kepada pendapatan kumpulan, menurut penganalisis.
Mereka melihat prospek RMC semakin penting kepada kumpulan tersebut susulan pertumbuhan kukuh segmen berkenaan pada FY26, walaupun syarikat berdepan cabaran kenaikan harga arang batu yang boleh memberi tekanan kepada kos operasi pada FY27.
Kata CGSI, hasil RMC meningkat 26% kepada RM1.7 bilion pada FY26, manakala keuntungan kasar melonjak 73% kepada RM223 juta. Pertumbuhan itu didorong peningkatan jumlah jualan dan harga jualan purata (ASP), khususnya permintaan produk konkrit khusus untuk DC dan bangunan industri.
"Kami menjangka hasil RMC berkembang hingga 20% setahun bagi FY27-FY29, dengan sumbangannya kepada hasil kumpulan naik kepada 45%, berbanding 36% pada FY26, serta melihat potensi eksport dari kilang Langkawi, termasuk ke Singapura, sebagai sumber pertumbuhan tambahan," katanya.
Justeru, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Malayan Cement tetapi menurunkan sedikit harga sasaran (TP) kepada RM10, dengan menjangkakan dividen lebih tinggi susulan aliran tunai bebas yang kukuh serta kedudukan kewangan kumpulan yang sihat dan penggearan bersih hanya 0.12 kali.

MBSB Research pula mengekalkan saranan 'beli' dan TP RM9.53, berdasarkan 19.5 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY27F. Firma itu melihat Malayan Cement sebagai antara pilihan utama sektor pembinaan kerana kedudukannya sebagai penerima manfaat utama kitaran menaik pembinaan.
Ujarnya, keuntungan bersih Malayan Cement melonjak 34.3% kepada RM904.2 juta pada FY26, manakala hasil meningkat 10% kepada RM4.99 bilion. Prestasi itu disokong permintaan kukuh, khususnya bagi RMC bermutu tinggi dan produk khusus, selain kecekapan operasi serta penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan pemulihan haba buangan.
"Segmen agregat dan konkrit pula mencatat pertumbuhan hasil 37.6% tahun ke tahun kepada RM490.8 juta pada 4QFY26, manakala hasil RMC FY26 meningkat 26.3% kepada RM1.78 bilion dan keuntungan operasi melonjak 71.6% kepada RM222.9 juta," katanya.
Bagaimanapun, MBSB Research memberi perhatian kepada kenaikan harga arang batu yang kini dianggarkan sekitar AS$90 satu tan, berbanding AS$70 sebelum ini. Kos lebih tinggi itu dijangka mengalir ke FY27, meskipun strategi pembelian arang batu secara bergilir bagi tempoh dua hingga tiga bulan dijangka membantu mengurus impaknya.
Di sebalik tekanan kos, permintaan simen dan RMC dijangka kekal disokong projek DC, gudang, kediaman serta projek infrastruktur, perluasan lapangan terbang dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), manakala permintaan berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) turut dilihat sebagai pemangkin pertumbuhan jangka sederhana.
Secara keseluruhan, penganalisis melihat peralihan Malayan Cement daripada bergantung kepada perniagaan simen tradisional kepada pertumbuhan RMC dan eksport sebagai pemangkin penting untuk fasa pertumbuhan seterusnya.
Bagaimanapun, kemampuan kumpulan mengekalkan margin ketika kos arang batu meningkat serta kelancaran pelaksanaan projek infrastruktur kekal menjadi cabaran utama. - DagangNews.com

![“Langsung Tak Halau” – Ramai Puji Restoran Mamak Santuni Kucing Terbiar, Beri Makan Ikan Siap Lapik Dengan Kertas [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/08/kedai-mamak-santuni-kucing-jalanan-1003x1024.jpg?t=1787302104)




