Malaysia Airlines & AirAsia Kemas Kini Format Pengisian Nama, Tak Perlu Risau Tersalah Isi Lagi!

LocalTravel
20 May 2025 • 6:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bagi rakyat Malaysia, isu pengisian nama dalam tempahan tiket kapal terbang bukan perkara baharu. Ramai yang pernah hadapi masalah nama tidak sepadan dengan dokumen, sehingga menyukarkan proses daftar masuk.

Kesilapan ini sering berlaku apabila sistem tempahan hanya mengiktiraf format barat seperti ‘first name’ dan ‘last name’, sedangkan nama rakyat Malaysia dan negara-negara Asia lebih kompleks dan pelbagai.

Bagi mengatasi perkara ini, Malaysia Airlines dan AirAsia kini mengambil inisiatif mengemas kini sistem tempahan mereka agar lebih selari dengan realiti nama di rantau ini.

Format Baharu Lebih Mesra Penumpang Tempatan

Memetik laporan MalayMail, Malaysia Airlines kini memisahkan nama kepada “First & Middle Name” dan “Last Name/Surname”, manakala AirAsia menggunakan format yang sama namun dibezakan antara “Given Name” dan “Family Name/Surname”.

Contohnya, bagi nama seperti “Vincent Tan Ming Ban”, “Tan” akan diletakkan sebagai nama keluarga, manakala “Ming Ban Vincent” sebagai nama pertama.

Untuk nama Melayu seperti “Mohd Ali Ahmad Bin Mohd Abu”, bahagian “Bin Mohd Abu” perlu diisi sebagai surname.

Syarikat penerbangan turut menekankan bahawa perubahan ini hanya terpakai bagi tempahan baharu, dan tidak menjejaskan tempahan sedia ada.

Langkah ini dijangka dapat mengurangkan risiko kesilapan ejaan atau nama tidak sepadan semasa daftar masuk, terutamanya di luar negara.

image is not available
Sumber: AirAsia

Inisiatif Bantu Pelbagai Latar Belakang Nama Di Asia Tenggara

Selain rakyat Malaysia, kemas kini ini juga mengambil kira format nama tradisional dari komuniti lain di rantau Asia Tenggara seperti Filipina, Vietnam, Thailand dan komuniti Cina serta India.

Masalah format nama sebelum ini bukan sahaja membebankan penumpang, malah turut menyulitkan pegawai daftar masuk yang perlu mengesahkan identiti dengan pasport.

Langkah baru ini dijangka mempercepatkan proses dan mengurangkan ralat sistem.

Dengan pendekatan lebih inklusif ini, kedua-dua syarikat penerbangan berharap pengalaman tempahan dan daftar masuk akan jadi lebih mudah dan mesra pengguna untuk semua.

Sebagai info, isu berhubung pengisian nama melibatkan rakyat Malaysia sudah lama timbul. Malah sebelum ini, seorang pengguna Reddit pernah mengutarakan perkara sama selepas berdepan masalah ketika melakukan self check-in di lapangan terbang.

Dakwanya, pasport milik rakyat Malaysia tidak mengasingkan nama pertama di dalam sistem Machine Readable Zone (MRZ) yang digunakan.

Tambahnya lagi, dia terpaksa mengisi nama pertama dan akhirnya secara berasingan kerana sesetengah sistem yang digunakan lapangan terbang akan memaparkan notis ralat semasa membaca pasport miliknya.