Malaysia Airports cari rakan strategik bangunkan ekosistem pengiklanan lapangan terbang

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Airports cari rakan strategik bangunkan ekosistem pengiklanan lapangan terbang Image from: Malaysia Airports cari rakan strategik bangunkan ekosistem pengiklanan lapangan terbang liza26/08/2026 - 17:03 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Ogos – Malaysia Airports Holdings Berhad membuka Permintaan Maklumat (Request for Information - RFI) bagi mendapatkan pandangan industri mengenai pembangunan masa depan ruang pengiklanan di rangkaian lapangan terbang kendaliannya.

 

Inisiatif itu mengalu-alukan penyertaan pengendali media lapangan terbang global, syarikat konsesi pengiklanan serta rakan strategik untuk mengemukakan keupayaan, cadangan dan pendekatan masing-masing bagi membangunkan ekosistem pengiklanan lapangan terbang yang lebih berkesan.

 

Menurut Malaysia Airports, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menyediakan rangkaian lapangan terbangnya bagi menghadapi fasa pertumbuhan seterusnya, termasuk dari aspek infrastruktur, operasi dan aset komersial.

 

“Skop RFI merangkumi peluang pengiklanan di Terminal 1, Terminal 2 serta beberapa lapangan terbang terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

“Rangkaian lapangan terbang tempatan merekodkan 104.5 juta pergerakan penumpang pada 2025, sekali gus menawarkan capaian kepada pelbagai segmen penumpang antarabangsa, domestik dan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Fokus Kepada Pengiklanan Lebih Moden

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, rangkaian lapangan terbang syarikat mempunyai capaian luas merentasi pelbagai segmen penumpang dan pasaran.

 

Katanya, menerusi RFI berkenaan, Malaysia Airports mahu memahami bagaimana potensi itu boleh dibangunkan menjadi ekosistem media lapangan terbang yang lebih berkesan untuk memberi manfaat kepada jenama dan rakan niaga, selain menyumbang kepada pengalaman penumpang.

 

Beliau berkata, peluang itu turut dapat mengukuhkan peranan lapangan terbang sebagai pintu masuk kepada sektor pelancongan dan perniagaan, di samping menjadi ruang yang mencerminkan identiti Malaysia.

 

“Maklum balas yang diterima akan membantu Malaysia Airports menentukan bagaimana pengiklanan di lapangan terbang boleh menyokong aspirasi lebih luas untuk meletakkan Malaysia sebagai negara paling terhubung di Asia Pasifik.

 

“Semakan itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu meningkatkan suasana terminal, memperkukuh potensi komersial ruang pengiklanan dan mempercepatkan transformasi digital,” katanya.

 

Data Dan Teknologi Jadi Tumpuan

Malaysia Airports turut mendapatkan pandangan mengenai penggunaan pengukuran audiens berasaskan data, keupayaan media automatik serta penglibatan pelbagai saluran bagi membolehkan jenama berhubung dengan penumpang secara lebih berkesan.

 

Semakan itu turut mengambil kira integrasi lapangan terbang pintar serta penyelesaian Pengiklanan Digital Luar Rumah (Digital Out-of-Home, DOOH) yang cekap tenaga dan boleh melengkapi sistem pandu arah penumpang serta persekitaran terminal secara keseluruhan.

 

Ruang pengiklanan yang terlibat merangkumi bangunan terminal, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), skrin DOOH, troli lapangan terbang dan infrastruktur lain milik Malaysia Airports.

 

Malaysia Airports turut mendapatkan maklum balas pasaran mengenai beberapa model pelaksanaan yang berpotensi, termasuk konsesi bersepadu seluruh negara, kelompok wilayah atau struktur lain yang bersesuaian.

 

Pihak yang mengambil bahagian juga boleh mengemukakan pandangan mengenai Jaminan Minimum Tahunan (Minimum Annual Guarantee, MAG), mekanisme perkongsian hasil, model berdasarkan jumlah penumpang serta mekanisme sewaan lain.

 

RFI Dibuka Sehingga 25 September

Amalan operasi mampan serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang berkaitan turut menjadi sebahagian daripada penilaian Malaysia Airports.

 

Pihak yang berminat perlu mengemukakan maklum balas secara elektronik dalam format PDF dan Excel bagi bahagian kewangan kepada Unit Tender, Pengurusan Kontrak dan Penambahbaikan Perniagaan Malaysia Airports.

 

Tarikh akhir penghantaran RFI ditetapkan pada 25 September 2026, jam 5 petang waktu Malaysia, menerusi e-mel [commercialadvertising@malaysiaairports.com.my](mailto:commercialadvertising@malaysiaairports.com.my).

 

Malaysia Airports mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia yang terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 Pelabuhan Udara Landasan Pendek (STOLports), selain sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.

 

Langkah membuka RFI itu dijangka membantu Malaysia Airports menilai potensi ruang pengiklanan secara lebih menyeluruh sebelum menentukan pendekatan komersial yang sesuai, dengan penekanan terhadap pendigitalan, penjanaan nilai komersial dan pengalaman penumpang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved