Malaysia, Brunei setuju guna mekanisme ASEAN tangani jerebu rentas sempadan - PM

LocalEnvironment
22 Aug 2026 • 5:07 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia, Brunei setuju guna mekanisme ASEAN tangani jerebu rentas sempadan - PM
Anwar pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada Sabtu. Foto Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN - Malaysia dan Brunei mencapai kata sepakat untuk menggunakan mekanisme ASEAN bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang kini kembali melanda beberapa kawasan di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama-sama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) di sini pada Sabtu.

"Kita (Malaysia-Brunei) bersetuju untuk menggunakan mekanisme ASEAN sebagai pilihan jalan terbaik. Kita minta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengurus isu ini,” kata beliau pada sidang media penutup bersempena dengan lawatan kerja selama dua hari ke Brunei.

Terdahulu, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman kira-kira 11 pagi bagi menghadiri ALC-27.

Semalam, Mohamad memaklumkan Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik di peringkat ASEAN bagi mencari penyelesaian isu jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di rantau ini.

Mohamad berkata, Malaysia melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN dalam masa terdekat.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian, Sarawak mencatatkan bacaan 190 setakat 9 pagi tadi.

Sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved