Malaysia dikenal pasti berdepan ancaman dieksploitasi sebagai salah satu laluan transit bagi aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kedudukan geografi yang strategik serta jaringan pengangkutan udara, darat dan maritim yang luas berpotensi dimanfaatkan oleh sindiket jenayah terancang untuk membawa masuk dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan atau dihantar ke negara destinasi lain.
Menurutnya, perkara tersebut didedahkan hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Susulan itu, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan terhadap keseluruhan rangkaian sindiket.
Malaysia Berdepan Ancaman Jadi Hab Dadah

"Ia termasuk pembekal, pengatur pergerakan, pembiaya dan pengedar, di samping memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa antarabangsa serta kawalan di lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat bagi membendung aktiviti penyeludupan," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang meminta penjelasan sama ada Malaysia kini menjadi transit sindiket pengeluaran dan pengedaran dadah antarabangsa.
Dalam pada itu, Saifuddin turut berkata, susulan beberapa insiden keselamatan di pintu masuk negara, Jemaah Menteri pada 19 Ogos lalu telah meluluskan Memorandum Bersama (MJM) KDN-MOT.
Katanya, ia berhubung cadangan pelaksanaan Pelan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan bagi memperkukuh kawalan keselamatan serta saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu-pintu masuk antarabangsa secara berfasa.
"Pelan tindakan ini merangkumi 17 syor substantif yang dirangka berteraskan tiga aspek keselamatan utama iaitu Keselamatan Penerbangan, Keselamatan Negara dan Sempadan, serta Keselamatan Fizikal dan Perlindungan.
"Pelaksanaannya dibahagikan secara berfasa merangkumi Jangka Pendek (0 hingga 6 bulan/Quick Win), Jangka Sederhana (6 hingga 24 bulan), dan Jangka Panjang (melebihi 24 bulan)," ujarnya.
Beliau turut menjelaskan, bagi Fasa 1 syor Jangka Pendek, ia berfokus kepada penutupan kelompongan kawalan secara optimum menggunakan punca kuasa, anggota dan aset sedia ada.
Bagi Fasa 2 syor Jangka Sederhana pula, ia memberikan tumpuan kepada pembinaan keupayaan baharu dan perolehan aset strategik berteknologi tinggi.
Baca juga:
Mansuh Hukuman Mati Bukan Punca Penyeludupan Dadah Meningkat - PM
Pasangan Kekasih Disyaki Tokan Dadah, Polis Rampas Dadah Lebih RM700,000
"Manakala di bawah Fasa 3 syor Jangka Panjang (melebihi 24 bulan), Kerajaan komited untuk melaksanakan pemodenan dan transformasi sistem keselamatan nasional secara menyeluruh.
"Ia menerusi penggantian pengimbas bagasi dan badan dengan teknologi AI generasi baharu di seluruh pintu masuk negara, pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo mengikut tahap risiko, penegasan National Immigration Command Center (NICC) sebagai pusat risikan nasional serta peluasan piawaian kawalan keselamatan yang seragam dan bersepadu di semua pintu masuk udara, darat dan laut negara," katanya.






