liza20/10/2026 - 14:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Okt – Kos penghantaran yang tinggi dan keperluan mengekalkan kesegaran buah menjadi antara pertimbangan Malaysia dalam usaha memperluas eksport durian ke China menerusi laluan transit darat dengan rundingan bersama empat negara Asia Tenggara masih berjalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Malaysia sedang berunding dengan Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja bagi mewujudkan laluan transit yang membolehkan durian segar tempatan dihantar ke China melalui jalan darat.
“Inisiatif itu berpotensi menawarkan alternatif lebih menjimatkan berbanding pengangkutan udara dengan perjalanan darat dianggarkan mengambil masa antara tiga hingga empat hari.
“Langkah berkenaan turut bertujuan membantu pengguna China mendapatkan durian pada harga lebih berpatutan memandangkan buah itu mendapat permintaan dalam kalangan pengguna negara berkenaan.
“Durian menjadi kegemaran pengguna China, tetapi mereka kadangkala menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buah itu pada harga yang lebih mampu milik,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Rundingan berdepan cabaran persaingan negara pengeksport
Bagaimanapun, usaha mewujudkan laluan transit itu bukan sekadar melibatkan aspek logistik, sebaliknya memerlukan rundingan antara beberapa negara yang turut mengeksport durian ke China.
Mohamad berkata, perbincangan bagi mendapatkan persetujuan transit telah dijalankan sejak 20 Julai lalu, dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Pengangkutan untuk memudah cara rundingan berkenaan.
Penglibatan empat negara itu penting bagi membolehkan laluan penghantaran darat direalisasikan. Namun, proses rundingan menjadi lebih mencabar apabila negara yang terlibat turut mempunyai kepentingan dalam pasaran durian China.
Kerajaan kini berusaha mempercepatkan rundingan bagi memastikan penghantaran durian Malaysia ke pasaran itu dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
Pengangkutan laut turut jadi pertimbangan
Selain laluan darat, Malaysia turut meneroka penggunaan pengangkutan laut sebagai pilihan lain bagi mengeksport durian ke China.
Bagaimanapun, tempoh perjalanan yang lebih panjang menjadikan kaedah itu kurang sesuai untuk memenuhi permintaan pengguna yang mengutamakan durian segar.
“Pengguna China mahukan durian segar. Sebab itu, kita sedang membincangkan secara intensif pengangkutan udara dan kereta api,” katanya. - DagangNews.com




