RedPlanet intai peluang pasaran teknologi pemetaan bernilai RM11.3 bilion selepas berpindah ke Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 6:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RedPlanet intai peluang pasaran teknologi pemetaan bernilai RM11.3 bilion selepas berpindah ke Pasaran ACE Image from: RedPlanet intai peluang pasaran teknologi pemetaan bernilai RM11.3 bilion selepas berpindah ke Pasaran ACE liza20/10/2026 - 18:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt – Industri penyelesaian geospatial Malaysia yang diunjurkan berkembang kepada RM11.3 bilion pada 2025 membuka ruang pertumbuhan kepada RedPlanet Berhad, ketika kumpulan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu bersedia berpindah ke Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Oktober ini.

 

RedPlanet menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pemetaan dan analisis data geografi, termasuk pengumpulan serta pemprosesan data untuk kegunaan navigasi, penjejakan dan pengurusan aset. 

 

Syarikat itu turut menyediakan sistem keselamatan rel, termasuk teknologi pengesanan pencerobohan manusia di platform kereta api, selain membekalkan penyelesaian ICT dan perkakasan berkaitan.

 

Menurut data industri yang dinyatakan dalam prospektus syarikat, industri penyelesaian geospatial Malaysia berkembang daripada RM6.7 bilion pada 2021 kepada anggaran RM11.3 bilion pada 2025, bersamaan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 14%.

 

Sementara itu, industri penyelesaian rel pintar turut berkembang daripada RM389.2 juta pada 2021 kepada RM494.3 juta pada 2025, dengan CAGR sebanyak 6.2%.

 

Hasil meningkat 22.3% kepada RM40.72 juta

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026), kumpulan mencatatkan hasil RM40.72 juta, meningkat 22.3% berbanding RM33.30 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Keuntungan selepas cukai terlaras meningkat 35.1% kepada RM7.31 juta daripada RM5.41 juta pada FY2025, selepas mengecualikan perbelanjaan tidak berulang berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) dan perpindahan penyenaraian berjumlah RM980,000.

 

Berdasarkan keputusan yang dilaporkan, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat 21.3% kepada RM6.33 juta berbanding RM5.22 juta pada FY2025. Pendapatan asas sesaham pro forma turut meningkat kepada 1.54 sen daripada 1.26 sen, berdasarkan modal saham terbitan diperbesar sebanyak 410.65 juta saham selepas IPO.

 

Penyelesaian geospatial penyumbang terbesar

Penyelesaian geospatial kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan, iaitu RM18.4 juta atau 45.1% daripada jumlah hasil FY2026.

 

Segmen penyelesaian rel pintar menyumbang RM11.6 juta atau 28.4%, manakala dagangan penyelesaian ICT dan perkakasan berkaitan menyumbang RM10.8 juta atau 26.5%.

 

Malaysia menyumbang 87% daripada hasil kumpulan, dengan selebihnya diperoleh daripada pelanggan di Asia, Oceania, Amerika Utara, Eropah, Amerika Selatan dan Afrika.

 

Catat hasil RM7.55 juta pada suku keempat

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026, RedPlanet merekodkan hasil RM7.55 juta, dengan penyelesaian geospatial menyumbang RM4.7 juta dan penyelesaian rel pintar RM2.8 juta.

 

Keuntungan selepas cukai bagi suku berkenaan ialah RM1.36 juta, bersamaan margin keuntungan selepas cukai sebanyak 18%. Selepas mengecualikan perbelanjaan penyenaraian yang ditanggung pada suku itu, keuntungan selepas cukai terlaras berjumlah RM1.57 juta.

 

Tiada angka perbandingan bagi suku sama tahun sebelumnya kerana laporan kewangan interim berkenaan merupakan laporan pertama kumpulan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE.

 

Kedudukan kewangan kekal baik

Setakat 30 Jun 2026, kumpulan mempunyai tunai, baki bank dan deposit tetap berjumlah RM13.8 juta berbanding jumlah pinjaman RM5.2 juta.

 

Aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi meningkat lebih dua kali ganda kepada RM9.5 juta pada FY2026 berbanding RM4.7 juta pada FY2025, manakala aset bersih sesaham berada pada 5.81 sen.

 

Dalam tempoh berkenaan, syarikat turut mengisytiharkan dan membayar dividen interim satu peringkat sebanyak 0.35 sen sesaham bagi FY2026.

 

RedPlanet dijadualkan berpindah daripada Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 22 Oktober 2026, selepas disenaraikan di Pasaran LEAP sejak 4 Ogos 2020. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved