
KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,293 kejadian tanah runtuh direkodkan di seluruh negara sejak 2021, manakala 1,577 cerun dikenal pasti berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi runtuh ketika Monsun Timur Laut membawa hujan lebat berpanjangan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad, berkata, Sarawak merekodkan jumlah kejadian tertinggi dengan 508 kes, diikuti Sabah sebanyak 195 kes dan Selangor dengan 176 kes.
Menurut beliau, sebanyak 314 kejadian tanah runtuh direkodkan pada 2025, menjadikannya jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun berkenaan, dengan Sarawak mencatatkan 127 kes dan Sabah 75 kes.
Katanya, JBPM turut mengenal pasti puluhan lokasi panas berisiko tinggi menerusi penyelarasan data bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Hulu Langat, Ampang dan Batang Kali di Lembah Klang, laluan ke Cameron Highlands, Paya Terubong di Pulau Pinang serta Kundasang, Sabah.
“Pembangunan pesat di kawasan lereng bukit di lokasi terbabit menjadikannya sangat terdedah kepada aliran air hujan yang deras ketika musim monsun,” katanya.
Nor Hisham berkata, sebanyak 242 kejadian tanah runtuh direkodkan pada 2021 susulan banjir besar luar biasa pada Disember tahun itu yang merosakkan infrastruktur di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.
Pada 2022, sebanyak 234 kejadian direkodkan, termasuk tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Batang Kali pada 16 Disember yang mengorbankan 31 nyawa.
Sebanyak 188 kejadian dicatatkan pada 2023, jumlah paling rendah dalam tempoh berkenaan, termasuk kejadian kerosakan cerun di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Jumlah itu meningkat kepada 231 kejadian pada 2024, dengan beberapa kegagalan cerun berlaku di laluan tanah tinggi termasuk di Ranau, Genting Highlands dan Paya Terubong sehingga menyebabkan penutupan jalan serta kehilangan nyawa.
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sebanyak 84 kejadian tanah runtuh telah dilaporkan.
Mengulas punca kejadian, Nor Hisham berkata hujan lebat berpanjangan boleh menyebabkan pengumpulan air bawah tanah sehingga meningkatkan tekanan air dalam tanah dan melemahkan struktur serta ikatan tanah sebelum berlaku kegagalan cerun.
Beliau berkata perubahan guna tanah, penebangan hutan di kawasan bukit, aktiviti perlombongan dan sistem saliran yang tidak mencukupi turut boleh mempercepatkan hakisan.
Selain itu, kerja pemotongan cerun bagi pembinaan jalan dan pembangunan boleh menjejaskan kestabilan semula jadi lereng, manakala beban infrastruktur serta getaran daripada kenderaan berat berpotensi mempercepatkan pembentukan rekahan tersembunyi.
JBPM kini bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi teknikal bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan di kawasan berisiko tinggi.
Pemetaan bahaya tanah runtuh digunakan bagi menentukan kedudukan awal aset penyelamat, termasuk unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), berhampiran zon merah sebelum amaran hujan lebat dikeluarkan.
“MetMalaysia menyediakan amaran cuaca secara berterusan, JMG membekalkan data geologi dan pergerakan tanah, manakala JKR memantau integriti teknikal struktur jalan dan cerun.
“Semua data bersepadu ini menjadi panduan kepada pasukan penyelamat dalam merancang operasi mencari dan menyelamat yang lebih selamat serta pantas,” katanya.
Nor Hisham turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa peka terhadap tanda awal pergerakan tanah, termasuk kemunculan rekahan baharu pada lantai atau dinding, pokok dan tiang elektrik yang mula condong serta perubahan mendadak warna air yang mengalir dari kawasan bukit atau longkang.
Beliau menegaskan orang ramai perlu menjauhi kawasan cerun curam ketika hujan berpanjangan dan mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tanpa menunggu keadaan menjadi lebih buruk. - Getaran, 2 November 2026






