
KEMAMAN – Enam peniaga Medan Selera Taman Rekreasi Kuala Kemasik di sini, hilang punca pendapatan sejak seminggu lalu selepas struktur bumbung premis perniagaan runtuh pada 22 Oktober lalu.
Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu berlaku selepas kira-kira enam bulan medan selera tersebut kembali beroperasi setelah ditutup sementara selama setahun untuk kerja-kerja penambahbaikan.
Seorang peniaga, Alias Mohd., 70, berkata, struktur bumbung medan selera itu runtuh kira-kira setengah jam selepas dia bersama isterinya tiba di rumah setelah selesai berniaga.
“Kami sekarang tidak dapat berniaga seperti biasa sehingga menjejaskan pendapatan.
“Tidak pasti berapa lama kerosakan dapat diperbaiki,” kata peniaga celup tepung itu ketika ditemui di Medan Selera Taman Rekreasi Kuala Kemasik di sini, semalam.
Peniaga nasi ayam, Zahawiah Hassan, 47, pula merayu agar kerja-kerja pembaikan bumbung premis perniagaan terbabit dapat segera diperbaiki.
Katanya medan selera tersebut yang berlatar belakang suasana pantai sering menjadi tumpuan pengunjung.
“Sepatutnya kami bakal menerima limpahan pelanggan sempena musim perayaan Deepavali minggu depan.
“Kalau kerja-kerja pembaikan struktur bumbung itu tidak boleh disiapkan segera, kami merayu sekurang-kurangnya sediakan tapak perniagaan sementara,” katanya.
The post Baru setengah tahun berniaga, bumbung pula runtuh appeared first on Kosmo Online.






