
GEORGE TOWN – “Sudah seminggu (kejadian tanah runtuh) pun kami masih takut. Kami bimbang kejadian sama berulang.”
Demikian luahan seorang penduduk Taman Seri Rambai di Paya Terubong, Ngeoh Chong Tat, 80, yang sehingga ke hari ini masih dihantui kebimbangan untuk kembali menetap di rumahnya susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kediamannya, 25 Oktober lalu.
Warga emas itu berkata, meskipun sudah seminggu kejadian tersebut berlaku, perasaan takut masih menebal terutama apabila mengenangkan hujan lebat yang boleh mengundang risiko kejadian sama berulang.
“Walaupun kami diberitahu mungkin sudah boleh pulang ke rumah Isnin ini, tapi kami masih berasa takut untuk tinggal di rumah yang kami diami sejak tahun 1982.
“Kami bimbang… jika hujan berterusan, kemungkinan besar tanah runtuh akan berlaku lagi. Ini kerana, jarak penghadang zink projek perumahan lereng bukit itu terletak kurang lima meter dari belakang rumah kami,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Bagaimanapun, dia berharap pihak berkuasa dapat memastikan kawasan berkenaan benar-benar selamat sebelum penduduk dibenarkan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Setakat ini, rumah kami dan jiran sebelah sahaja yang dilaporkan boleh didiami. Kami tiada pilihan dan terpaksa pulang semula nanti.
“Ini sahaja rumah yang ada. Banyak kenangan untuk saya dan isteri simpan,” ujarnya ketika ini dia hanya pulang untuk tempoh beberapa jam bagi memberi makanan kepada anjing peliharaan dengan kebenaran pihak berkuasa.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan empat buah rumah di Taman Seri Rambai diarah dikosongkan selepas dikenal pasti tidak selamat untuk diduduki susulan kejadian tanah runtuh, Ahad lalu.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye dilaporkan berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 83 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kepada pemilik rumah yang terlibat.
Jelasnya bagaimanapun dua daripada enam rumah yang sebelum ini diarah dikosongkan pula telah diberikan kebenaran untuk diduduki semula berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Timur Laut Bilangan 2 Tahun 2026.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Dr. Wong Kar Lin, 73, ditemukan maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit di bahagian dapur kediamannya.
Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68, serta ibu mertuanya, Wong Poh Lim, 80-an berjaya menyelamatkan diri sebaik kejadian berlaku. – KOSMO! ONLINE
The post Tanah runtuh: ‘Rumah sendiri pun kami takut nak duduk’ appeared first on Kosmo Online.






