1,577 cerun kekal berisiko runtuh

LocalEnvironment
2 Nov 2026 • 9:10 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 1,577 cerun kekal berisiko runtuh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,577 cerun di seluruh negara dikesan kekal berada pada tahap kritikal dan berisiko tinggi runtuh susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak minggu lalu.

Statistik daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) itu seiring dengan trend kekerapan insiden tanah runtuh sejak lima tahun kebelakangan ini susulan hujan berkeamatan tinggi dan menuntut tindakan mitigasi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM,) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, melalui penyelarasan data bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) puluhan kawasan ‘hotspot’ berisiko tinggi di seluruh negara dikenal pasti.

Katanya, antara kawasan yang paling kerap terjejas dan akan diberi tumpuan penuh oleh JBPM termasuklah kawasan berbukit di sekitar Lembah Klang seperti Hulu Langat, Ampang dan Batang Kali; laluan ke Cameron Highlands; Paya Terubong di Pulau Pinang, serta kawasan cerun di Kundasang, Sabah.

“Kepesatan pembangunan di lereng bukit di lokasi-lokasi terbabit menjadikannya sangat sensitif terhadap larian air hujan yang deras semasa musim tengkujuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, sebanyak 1,293 insiden tanah runtuh direkodkan di seluruh negara dengan Sarawak dan Sabah merekodkan kekerapan kes tertinggi dalam tempoh enam tahun sejak 2021 hingga September lalu.

Jelasnya, Sarawak mencatatkan angka terkumpul tertinggi membabitkan 508 kes diikuti Sabah dengan 195 kes dan Selangor sebanyak 176 kes.

“Pecahan data tahunan menunjukkan tahun 2025 merekodkan jumlah kejadian tertinggi iaitu sebanyak 314 kes didorong lonjakan ketara insiden di Sarawak (127 kes) dan Sabah (75 kes).

“Sebaliknya, tahun 2023 mencatatkan rekod tahunan paling rendah dengan 188 kes di seluruh negara manakala bagi tempoh Januari hingga September lalu, sebanyak 84 kejadian telah dilaporkan,” jelasnya.

Tambah beliau, kronologi runtuhan menunjukkan corak impak yang berbeza saban tahun iaitu bermula dengan 242 kes pada 2021 apabila kekerapan bencana melonjak mendadak susulan banjir besar luar biasa pada Disember yang meranapkan banyak infrastruktur di Hulu Langat, Selangor dan Bentong, Pahang.

“Tahun 2022 pula merekodkan 234 kes dan menjadi detik paling kritikal susulan tragedi berskala besar di tapak perkhemahan Batang Kali, Selangor pada 16 Disember yang meragut 31 nyawa.

“Trend tersebut kemudiannya beralih ke kawasan pusat bandar dan jalan raya utama pada 2023 membabitkan 188 kes, termasuk kerosakan cerun di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) serta Bukit Tunku di ibu negara.

“Bagi tempoh 2024 hingga September lalu yang merekodkan masing-masing 231 kes dan 84 kes, kegagalan cerun lebih tertumpu pada laluan perhubungan utama tanah tinggi seperti di Ranau, Genting Highlands serta Paya Terubong sehingga menyebabkan penutupan jalan dan kemalangan jiwa,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai punca utama peningkatan kes, beliau mendedahkan bahawa takungan air bawah tanah akibat hujan lebat berterusan bertindak meningkatkan tekanan air liang lalu melemahkan kohesi tanah sehingga meruntuhkan cerun.

“Faktor daratan seperti perubahan guna tanah, penebangan pokok di bukit, aktiviti perlombongan serta kelemahan sistem perparitan yang tersumbat mempercepatkan lagi hakisan tebing apabila longkang sedia ada gagal menampung air permukaan yang melimpah,” jelasnya.

Nor Hisham berkata, selain cerun semula jadi, kawasan berhampiran jalan raya dan tapak pembangunan turut diklasifikasikan sebagai zon merah berikutan aktiviti pemotongan lereng bukit yang telah mengganggu sudut kestabilan semula jadi tanah.

Jelasnya tekanan beban statik daripada infrastruktur serta getaran kenderaan berat yang berterusan di laluan berkenaan turut mempercepat pembentukan retakan tersembunyi pada cerun tambak sekali gus menuntut langkah mitigasi segera bagi mengelakkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Beliau menegaskan JBPM tidak bergerak sendirian sebaliknya bergerak di bawah penyelarasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi teknikal lain.

Jelas beliau, pemetaan data bahaya tanah runtuh dijadikan asas untuk penempatan awal aset (pre-positioning), termasuk meletakkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Mencari dan

Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam keadaan bersiap siaga berdekatan zon merah sebelum amaran hujan lebat bermula.

“MetMalaysia menyalurkan amaran awal cuaca berterusan, JMG membekalkan data geologi dan pergerakan tanah, manakala JKR memantau integriti teknikal struktur jalan dan cerun.

“Semua integrasi data ini bertindak sebagai ‘kompas’ kepada pasukan penyelamat dalam merangka strategi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang lebih selamat serta pantas,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk yang mendiami kawasan berisiko tinggi agar sentiasa peka terhadap tanda-tanda awal pergerakan tanah menerusi pengawasan visual di kediaman masing-masing.

“Penduduk disaran berwaspada sekiranya mengesan kemunculan retakan baharu pada lantai atau dinding, kedudukan pokok serta tiang elektrik yang mula condong, ataupun aliran air bukit dan longkang yang bertukar menjadi keruh secara tiba-tiba.

“Paling utama, jauhi kawasan lereng curam ketika hujan berterusan dan patuhi serta-merta arahan pemindahan pihak berkuasa tanpa perlu menunggu situasi bertambah buruk,” tegasnya. – UTUSAN

The post 1,577 cerun kekal berisiko runtuh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved