Edotco terima lesen infrastruktur telekomunikasi pertama di Sri Lanka

WorldTechnology
3 Sep 2025 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Edotco terima lesen infrastruktur telekomunikasi pertama di Sri Lanka

image is not available

03/09/2025 - 15:50

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Edotco Group Bhd melalui anak syarikatnya, Edotco Services Lanka (Private) Limited telah menerima lesen perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi pertama di Sri Lanka daripada Suruhanjaya Telekomunikasi negara itu.

Lesen tersebut memberikan kebenaran rasmi kepada Edotco untuk menawarkan rangkaian penuh perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi yang kritikal kepada kesalinghubungan negara, merangkumi penyelesaian pasif dan aktif.

Antara perkhidmatan yang dibenarkan termasuk pembinaan dan pengurusan menara serta struktur tiang, pemasangan gentian optik, penyelesaian rangkaian dalaman seperti sistem bangunan bersepadu (IBS) dan sel kecil, serta komponen rangkaian aktif lain yang menjadi tulang belakang ekosistem digital Sri Lanka.

Langkah ini adalah susulan kepada pindaan Akta Telekomunikasi Sri Lanka yang baharu, yang buat pertama kali memperkenalkan kerangka pelesenan khusus bagi penyedia infrastruktur.

Pindaan tersebut turut mengiktiraf secara rasmi peranan penting syarikat menara neutral-host dalam memperkukuh ekosistem digital negara itu.

Pengarah Urusan Negara Edotco Sri Lanka, Gayan Koralage berkata, perkembangan ini datang pada masa yang tepat memandangkan Sri Lanka memerlukan lebih 7,000 menara baharu untuk menyokong aspirasi 5G.

“Penggunaan data dijangka meningkat empat kali ganda menjelang 2028. Edotco bersedia untuk mengisi jurang infrastruktur ini dengan kepakaran dan pengalaman luas dalam membangunkan rangkaian moden di seluruh rantau,” katanya dalam satu kenyataan.

Penganugerahan lesen tersebut meletakkan Edotco sebagai peneraju dalam membentuk landskap telekomunikasi Sri Lanka yang lebih mampan, berdaya saing dan mesra digital.

Katanya, dengan sokongan lesen rasmi ini, syarikat mampu mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G negara itu.

Di peringkat serantau, Edotco telah mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu syarikat infrastruktur telekomunikasi utama Asia, dengan portfolio meliputi lebih 50,000 menara di sembilan negara termasuk Malaysia, Bangladesh, Myanmar, Kemboja dan Filipina.

Lesen baharu ini akan membuka peluang pelaburan jangka panjang kepada Edotco, bukan sahaja di Sri Lanka tetapi juga dalam memperluaskan lagi capaian syarikat ke pasaran Asia Selatan yang pesat membangun.

Dengan rekod pencapaian tersebut, Edotco diyakini terus memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi digital di rantau ini, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju infrastruktur telekomunikasi neutral-host di Asia. - DagangNews.com

standard