Malaysia dan Singapura naikkan kuota teksi rentas sempadan kepada 500, dua operator baharu ditambah

6 Nov 2026 • 2:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia dan Singapura naikkan kuota teksi rentas sempadan kepada 500, dua operator baharu ditambah Image from: Malaysia dan Singapura naikkan kuota teksi rentas sempadan kepada 500, dua operator baharu ditambah amree06/11/2026 - 14:28 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Nov – Perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura bakal mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan apabila kuota teksi berlesen antara kedua-dua negara dinaikkan daripada 300 kepada 500 bagi setiap negara, berkuat kuasa 16 November 2026.

 

Menurut kenyataan, penambahan kuota sebanyak 200 teksi bagi setiap negara berjiran itu turut menyaksikan dua lagi operator baharu, CDG Zig Pte Ltd dari Singapura dan Kumpool Sdn Bhd dari Malaysia, ditambah bagi menyertai Skim Teksi Rentas Sempadan yang sedia ada.

 

Kedua-dua operator itu akan beroperasi bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan teksi sedia ada, GrabCar Pte Ltd, sekali gus memperluas pilihan perkhidmatan pengangkutan berlesen untuk penumpang yang ingin berulang-alik antara Malaysia dan Singapura.

 

Dalam kenyataan bersama, Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia (APAD) berkata, usaha itu dijangka meningkatkan ketersediaan perkhidmatan teksi rentas sempadan, selain memberikan banyak pilihan dan kemudahan kepada pengguna.

 

Ketua Eksekutif LTA, Ng Lang berkata, peningkatan kuota itu merupakan langkah penting untuk memperkukuh tahap hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara berkenaan, selain mencerminkan kerjasama erat yang sudah lama terjalin.

 

"Sehubungan itu, LTA akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia bagi menambah baik perjalanan rentas sempadan serta memenuhi keperluan penumpang di kedua-dua negara," jelas beliau sebagai merujuk perkembangan terbaharu tersebut.

 

malaysia dan singapura_DagangNews2026

 

Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof pula menyifatkan penyertaan dua operator baharu dan peningkatan bilangan kuota berkenaan sebagai perkembangan yang cukup penting dalam usaha kerajaan memperkukuh pergerakan lancar penumpang rentas sempadan.

 

Menurutnya, inisiatif itu turut melengkapi keperluan perjalanan jarak awal dan akhir antara Johor Bahru dengan Singapura, sekali gus meningkatkan hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara.

 

Perluasan skim itu menyusuli beberapa penambahbaikan dilaksanakan sejak 4 Mei 2026, termasuk penyediaan lokasi pengambilan penumpang khusus bagi tempahan perkhidmatan e-hailing, kelonggaran lokasi penurunan penumpang serta penguatkuasaan terhadap perjalanan domestik tanpa lesen.

 

Di bawah peraturan baharu itu, penumpang boleh diturunkan di lokasi seluruh Singapura manakala kawasan operasi yang ditetapkan di Johor, termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai.

 

Skim berkenaan turut memberi pilihan kepada keluarga serta pengembara perniagaan untuk menggunakan kenderaan lebih besar dan premium, sejajar dengan usaha meningkatkan keselesaan serta kemudahan perjalanan rentas sempadan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved