
SINGAPURA, 6 NOV: Malaysia dan Singapura akan meningkatkan kuota teksi rentas sempadan berlesen daripada 300 kepada 500 buah bagi setiap negara mulai 16 November, selain membenarkan dua lagi pengendali e-panggilan menyediakan perkhidmatan di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan yang dipertingkat.
Menurut kenyataan bersama kementerian pengangkutan kedua-dua negara hari ini, dua pengendali baharu itu, CDG Zig Pte Ltd dan Kumpool Sdn Bhd turut akan diberikan lesen untuk beroperasi di bawah skim berkenaan mulai tarikh sama.
"Pengguna dan pemandu boleh menikmati lebih banyak pilihan perjalanan terus dari satu lokasi ke lokasi lain merentasi sempadan, kemudahan yang lebih baik serta pengalaman perjalanan yang lebih selesa," menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu memaklumkan bahawa perkembangan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan serta meningkatkan pengalaman perjalanan pengguna antara kedua-dua negara.
"Penambahbaikan ini akan terus memperkukuh hubungan perniagaan yang erat serta hubungan antara rakyat Malaysia dan Singapura," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Malaysia Ahmad Radhi Ma'arof berkata Malaysia mengalu-alukan peluasan skim terbabit.
"... ini merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan pergerakan penumpang rentas sempadan, sekali gus melengkapkan kesalinghubungan perjalanan peringkat awal dan akhir antara Johor Bahru, Malaysia dengan Singapura.
"Kami berharap perkembangan baharu ini akan terus meningkatkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara," kata beliau.
Dua pengendali e-hailing baharu, CDG Zig dan Kumpool, akan menyertai GrabCar Pte Ltd sebagai pengendali berlesen di bawah Skim Teksi Rentas Sempadan.
Ketua Eksekutif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura Ng Lang berkata peningkatan kuota itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia, selain mencerminkan kerjasama erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
"Dengan memperluas ketersediaan perkhidmatan rentas sempadan berlesen, kami menyediakan lebih banyak pilihan dan kelonggaran perjalanan kepada pengguna untuk merancang perjalanan mereka.
"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan sejawat di Malaysia bagi menambah baik perjalanan rentas sempadan serta memenuhi keperluan pengguna di kedua-dua negara," katanya.
Pada 4 Mei 2026, Malaysia dan Singapura memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada Skim Teksi Rentas Sempadan bagi meningkatkan kemudahan perjalanan pengguna, di samping memastikan syarat operasi yang adil kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan dan pemandu di kedua-dua negara.
Langkah itu termasuk menetapkan lokasi pengambilan penumpang baharu bagi tempahan perkhidmatan e-panggilan, memberikan lebih fleksibiliti bagi lokasi menurunkan penumpang, meningkatkan kuota teksi rentas sempadan berlesen serta penguatkuasaan lebih ketat terhadap khidmat yang ditawarkan secara haram.






