amree06/11/2026 - 09:20 PANORAMA jerebu yang melanda Kuala Lumpur baru-baru ini. - Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Negara rantau ini tidak boleh mengambil tindakan penguatkuasaan atau menuntut pampasan menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) terhadap negara atau pihak yang bertanggungjawab menyebabkan isu itu.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perjanjian serantau yang sudah dimeterai negara-negara anggota lebih dua dekad lalu tersebut langsung tidak menyediakan sebarang mekanisme penguatkuasaan antara negara atau tuntutan pampasan.
Menurutnya ketika menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak-Batang Sadong) di Dewan Rakyat, keadaan itu berikutan AATHP berasaskan prinsip kerjasama, konsensus dan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara anggota ASEAN.
"Justeru, sebarang tindakan undang-undang terhadap pihak atau syarikat yang menyebabkan kebakaran sehingga mencetuskan jerebu perlu dilaksanakan mengikut bidang kuasa serta undang-undang domestik negara masing-masing," tambah beliau lagi.
Syed Ibrahim berkata, apa-apa cadangan untuk kerajaan memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan atau tuntutan pampasan memerlukan penelitian secara menyeluruh dari aspek perundangan, bidang kuasa, hubungan diplomatik dan bukti saintifik.

Bagaimanapun, beliau berkata AATHP kekal relevan sebagai kerangka kerjasama serantau untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, khususnya melalui pemantauan, perkongsian maklumat, sistem amaran awal dan penyelarasan langkah pencegahan.
Bagi memperkukuh pelaksanaan komitmen di bawah perjanjian berkenaan, Malaysia terus menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju ASEAN Bebas Jerebu Kedua bagi tempoh 2023 hingga 2030 serta Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN 2023-2030.
"Selain itu, dua cadangan turut dikemukakan, iaitu mekanisme diplomasi sains dan penubuhan dana jerebu mampan yang dibentangkan pada mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri di Bali pada Julai 2026," kata Syed Ibrahim.
Ujar beliau, kedua-dua cadangan tersebut turut akan diteliti semula Sekretariat ASEAN di ibu pejabat badan serantau berkenaan sebelum dibincangkan secara lebih mendalam dalam mesyuarat berkaitan di Vietnam pada Disember 2026.
Mengulas pendekatan lebih tegas Singapura dalam menangani pencemaran jerebu rentas sempadan, beliau berkata Malaysia memilih pendekatan diplomatik ketika berurusan dengan negara anggota ASEAN bagi mengelakkan ketegangan hubungan antara negara. - DagangNews.com






