Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan nadir bumi, Terengganu dan Kelantan antara negeri mempunyai deposit terbesar

LocalBusiness & Finance
25 Nov 2026 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan nadir bumi, Terengganu dan Kelantan antara negeri mempunyai deposit terbesar Image from: Malaysia dianggarkan memiliki 16.1 juta tan nadir bumi, Terengganu dan Kelantan antara negeri mempunyai deposit terbesar hamden25/11/2026 - 14:56 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 25 Nov - Tinjauan awal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati Malaysia memiliki sebanyak 16.1 juta tan sumber unsur nadir bumi (REE), dengan Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah dikenal pasti mempunyai deposit terbesar.

 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, bagaimanapun, anggaran sumber mineral itu belum boleh disamakan dengan rizab yang mempunyai daya maju komersial untuk dilombong.

 

Katanya, keadaan itu sekali gus menuntut usaha lebih menyeluruh bagi meningkatkan tahap keyakinan terhadap potensi sebenar sumber REE negara.

 

"Malaysia tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kekayaan sumber mineral yang dimiliki, sebaliknya perlu menguasai teknologi yang diperlukan serta membangunkan keseluruhan rantaian nilai industri bagi memaksimumkan pulangan ekonomi kepada negara dan rakyat," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Selasa.

 

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai perancangan kerajaan untuk membangunkan sumber REE negara secara terkawal dan mampan, termasuk negeri yang mempunyai deposit terbesar, anggaran rizab, nilai ekonomi, kaedah perlombongan serta mekanisme pemantauan alam sekitar.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata, Malaysia mengenal pasti sebanyak 274,887 tan metrik sumber REE yang telah diteroka setakat 2025, susulan kajian penerokaan yang dijalankan JMG.

 

Usaha meningkatkan tahap keyakinan terhadap anggaran sumber REE negara akan diteruskan menerusi fasa kedua projek penilaian potensi sumber REE di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

 

Projek yang diperuntukkan sebanyak RM38.49 juta itu meliputi kawasan penilaian seluas 160 kilometer persegi di 10 negeri.

 

"Bagi 2026, sebanyak RM9 juta diperuntukkan untuk penilaian kawasan seluas 30 kilometer persegi di enam negeri dan sehingga Oktober 2026, kawasan sasaran untuk penilaian telah diliputi sepenuhnya," katanya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerjasama antara Lynas Rare Earths dan JS Link Incorporated dari Korea Selatan menerusi perjanjian perkongsian jangka panjang bernilai RM1 bilion yang dimeterai pada Julai lalu telah membawa kepada pembangunan kilang pembuatan magnet kekal di Kuantan, Pahang.

 

Kilang itu direka untuk mencapai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 3,000 tan metrik dan berpotensi mewujudkan sehingga 700 peluang pekerjaan baharu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved