Malaysia hanya peroleh 62.4 mata antara terendah aspek tadbir urus AI di Asia Pasifik - Kajian Sumsub

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia hanya peroleh 62.4 mata antara terendah aspek tadbir urus AI di Asia Pasifik - Kajian Sumsub Image from: Malaysia hanya peroleh 62.4 mata antara terendah aspek tadbir urus AI di Asia Pasifik - Kajian Sumsub amree07/09/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept — Malaysia berdepan cabaran besar dalam kesiapsiagaan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) apabila mencatat skor 62.4 mata, antara terendah dalam kalangan pasaran Asia Pasifik (APAC) yang dikaji, berbanding purata serantau 67.1, menurut kajian terbaharu Sumsub.

 

Kedudukan itu menjadi lebih kritikal apabila penggunaan sistem AI yang mampu melaksanakan pelbagai tugasan semakin berkembang dalam organisasi, termasuk sektor kewangan, sekali gus meningkatkan persoalan mengenai siapa bertanggungjawab terhadap keputusan dan tindakan dibuat AI.

 

Kajian firma berkenaan turut mendapati kira-kira 72% syarikat dalam sektor perkhidmatan kewangan yang dikaji sudah menggunakan sistem AI berbilang langkah, serta mampu melaksanakan tugasan dengan input tenaga manusia secara terhad.

 

"Perkembangan tersebut menimbulkan cabaran praktikal kepada organisasi untuk merekod, menerangkan dan mengaitkan setiap tindakan AI kepada pihak yang bertanggungjawab sekiranya berlaku kesilapan atau kesan tidak diingini," jelas Sumsub dalam kenyataan.

 

Menurutnya lagi dalam kajian bertajuk 'State of Digital Trust: AI Governance Benchmark' itu, skor yang diraih negara ini turut mencerminkan sebahagian besar organisasi masih lagi berada pada tahap pembangunan dari segi kesiapsiagaan tadbir urus AI.

 

Bagaimanapun, pasaran Malaysia kini memasuki fasa penting apabila panduan secara sukarela dijangka beralih kepada pengawasan lebih ketat menerusi Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI yang bakal diperkenalkan kerajaan.

 

Sumsub_DagangNews2026

 

Model berasaskan risiko yang diwajibkan itu ujar Sumsub, dijangka turut disokong mekanisme penguatkuasaan dan penalti, serta mendorong syarikat tempatan mempercepatkan pembentukan kawalan serta rangka kerja tadbir urus AI secara lebih formal.

 

"Dalam pada itu, 98.6% organisasi dikaji menyatakan mereka berkemungkinan menggunakan perisian yang mampu menjejaki tindakan AI kepada identiti manusia yang bertanggungjawab, menunjukkan keperluan terhadap mekanisme akauntabiliti semakin meningkat.

 

Tambah firma tersebut, perubahan landskap AI turut memerlukan organisasi menjawab tiga persoalan utama, iaitu apakah tindakan yang dibuat AI, mengapa tindakan itu dibuat dan siapa yang bertanggungjawab terhadap hasilnya.

 

Kajian itu menilai tahap kesiapsiagaan organisasi di pasaran APAC dalam menghadapi risiko operasi dan tadbir urus AI, khususnya ketika teknologi beralih daripada sekadar membantu pekerja kepada melaksanakan tugasan dan membuat keputusan secara lebih autonomi.

 

Ia melibatkan 720 pemimpin kanan dalam bidang teknologi, risiko, pematuhan, produk dan operasi di sembilan pasaran APAC, dengan dapatan menunjukkan keperluan tadbir urus AI yang lebih kukuh semakin mendesak selari dengan peningkatan penggunaan ejen AI dalam operasi perniagaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved