Budaya kebersihan asas penting Malaysia capai status negara maju

18 Aug 2026 • 4:22 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Budaya kebersihan asas penting Malaysia capai status negara maju

KAJANG, 18 OGOS: Usaha menjadikan Malaysia sebagai negara maju tidak akan tercapai sekiranya hanya bersandarkan pencapaian sektor ekonomi, pelaburan dan pendidikan semata-mata sebaliknya turut bergantung dengan aspek kebersihan.

Justeru Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim menyeru masyarakat terutama generasi muda mengutamakan kebersihan kendiri sekali gus membentuk persekitaran harmoni dan lestari demi merealisasikan Malaysia sebagai negara maju.

“Hakikatnya untuk menjadi negara maju, kita kena ubah sikap. Bentukkan budaya masyarakat maju dengan memulakannya dari aspek kebersihan kerana ia adalah asas.

“Kebersihan negara bukan hanya jadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat selenggara kebersihan, tetapi bermula daripada masyarakat sendiri.

“Walau sehebat mana pendidikan, ekonomi yang besar dan pelaburan tinggi namun jika tak bersih, susah untuk capai status negara maju,” katanya merasmikan majlis penutup Kajang Bersih Kajang Di Hatiku (KBKD 5.0) di sini hari ini.

Image from: Budaya kebersihan asas penting Malaysia capai status negara maju
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abd Halim berucap ketika majlis penutup Kajang Bersih Kajang Di Hatiku (KBKD 5.0) di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, Kajang pada 18 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Bukit, program turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Kajang, David Cheong Kian Young.

Sementara itu, David berkata KBKD yang dilancar pada Ogos 2024 bertujuan menerap kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dalam kalangan pelajar selain membentuk disiplin dan kepimpinan yang tinggi.

Menurutnyq, siri jelajah akan diteruskan di tiga lagi sekolah sekitar Kajang dan dijangka berakhir menjelang hujung tahun ini.

“Selain tekankan kebersihan, program ini turut menguar-uarkan tentang bahaya dadah kerana ketika ini ada pelajar yang mengambil barang terlarang berkenaan.

“Jadi kita adakan pameran dengan kerjasama beberapa pihak seperti Jabatan Penjara Kajang dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk tunjukkan kesan buruk dadah,” katanya.

Sebelum ini, program KBKD turut dianjur di empat lagi sekolah iaitu SMK Saujana Impian, SMK Taman Jasmin 2, SMK Sultan Abdul Aziz Shah serta SMK Tinggi Kajang.

Program turut mendapat kerjasama pelbagai agensi antaranya Majlis Perbandaran Kajang, KDEB Waste Management dan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved