
PETALING JAYA – Rata-rata warga ibu kota meluahkan rasa kecewa apabila jerebu kembali menyelubungi beberapa kawasan pagi ini.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Adiazwari, keadaan tersebut menyebabkan beberapa bangunan pencakar langit hanya tinggal bayang.
“Pagi ini Malaysia jerebu balik, ingatkan asap kabus, semalam boleh nampak KLCC, TRX KL tower.
“Ini bayang je ada, semoga hujung minggu ini jerebu cuti dan kita semua boleh keluar rumah,” tulisnya.
Lebih membimbang kata individu yang tinggal di Sentul itu, walaupun semalam beberapa kawasan di ibu kota dilanda hujan, namun jerebu masih juga tidak hilang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan kekecewaan masing-masing.
“Malam tadi lalu MRR2 nampak semua menara di tengah-tengah Kuala Lumpur, pagi ini semua hilang balik,” komen Nanaradzuan.
Turut meninggalkan komen adalah seorang pengguna dikenali sebagai Wawasalwana.
“Walaupun semalam hujan dengan kilat petir sambung menyambung, tetapi hari ini tetaplah jerebu tebal balik,”katanya.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Malaysia jerebu balik, KLCC TRX tinggal bayang’ appeared first on Kosmo Online.






