Malaysia kekal terbuka pelaburan China dalam teknologi

LocalTechnology
25 Sep 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia kekal terbuka pelaburan China dalam teknologi

HANGZHOU, China: Malaysia akan te­rus terbuka kepada pelaburan serta kerjasama China dalam bidang tek­nologi digital yang mampu membawa pelbagai manfaat bersama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan kerajaan China untuk mengetengahkan serta ber­kongsi aspek teknologi itu menerusi pelbagai platform juga disambut baik.

“Daripada makanan hingga ke tek­nologi baharu serta sebagai negara tuan rumah, China seperti mana menjadi hos secara digital pada hari ini, telah mempamerkan kesediaan untuk mengetengahkan serta berkongsi teknologi.

“Ini bertepatan dengan ekonomi digital dan (atas alasan ini) Malaysia akan terus membuka ekonominya bagi meraih manfaat daripada pelaburan serta kerjasama digital. Terima kasih kerana turut membenarkan kami mempamerkan pavi­lion Malaysia, termasuk penyertaan daripada China,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Perdagangan Digi­tal Global (GDTE) Kelima di sini semalam.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut berkongsi kelebihan Malaysia, termasuk aspek disiplin dan kemahiran barisan pekerjanya yang menguasai pelbagai bahasa selain ekonomi berasaskan peraturan serta pangkalan yang berupaya menembusi pasaran di serata Asia dan kawasan lain.

Anwar turut menyambut baik pendirian tegas Presiden China, Xi Jinping mengenai kepen­tingan perdagangan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu mengurangkan jurang ketidaksamaan dan bukannya memburukkan lagi keadaan.

Beliau pada masa sama, menekankan sebarang kemajuan hanya menjadi sia-sia jika manfaatnya dinikmati oleh segelintir negara, syarikat, komuniti atau golongan elit tertentu.

“Ekonomi digital yang kukuh merujuk kepada keadaan yang membolehkan lebih banyak negara dapat mengambil bahagian, lebih banyak syarikat dapat bersaing dan lebih ramai orang mampu menikmati kemakmuran itu,” tegas Perdana Menteri.

Selain itu, Anwar menambah, pendekatan berteraskan etika terhadap AI serta rejim perdagangan digital yang le­bih terbuka dan berasaskan peraturan digesa untuk dilaksanakan bagi memastikan ne­gara-negara membangun turut meraih manfaat daripada kemajuan teknologi.

Beliau berkata, matlamat Malaysia dalam bidang AI adalah jelas, iaitu meningkatkan produktiviti, membantu syarikat kecil bersaing dan membawa industri ke arah aktiviti bernilai tinggi selain memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada perubahan teknologi berbanding hanya menerima impaknya.

“Prinsipnya kekal, sama ada kita mengawal selia AI atau AI mengawal kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menggesa rangka kerja berasaskan etika diwujudkan supaya inovasi dan kemajuan teknologi dapat memberi manfaat kepada manusia.

Anwar berkata, ini merupakan isu asas yang menyentuh masalah berulang berkaitan jurang digital terutamanya ketika negara mengejar kemajuan teknologi yang pesat dalam keadaan ketidaksamaan sosioekonomi yang berterusan.

“Pertumbuhan pesat AI, mi­salnya, mungkin menjadi aspirasi kebanyakan negara tetapi apakah manfaat sebenar yang akan diperoleh manusia jika perkembangan sedemikian hanya melebarkan jurang antara negara kaya dan negara sedang membangun, ekonomi maju dan ekonomi sedang membangun?

“Ini bukan ketakutan yang direka atau dibesar-besarkan, sebaliknya kebimbangan mendalam terhadap kesejahteraan wilayah, negara dan komuniti.

“Persoalannya adalah sama ada teknologi ini akan memberikan negara-negara membangun lebih banyak ruang untuk menentukan masa depan mereka sendiri atau membiarkan mere­ka bergantung pada teknologi yang dibangunkan di tempat lain,” kata beliau.-UTUSAN.

The post Malaysia kekal terbuka pelaburan China dalam teknologi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved