Malaysia Marine and Heavy Engineering lantik Aida Aziza Mohd Jamaludin anggotai lembaga pengarah

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 2:54 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Marine and Heavy Engineering lantik Aida Aziza Mohd Jamaludin anggotai lembaga pengarah Image from: Malaysia Marine and Heavy Engineering lantik Aida Aziza Mohd Jamaludin anggotai lembaga pengarah johardy24/11/2026 - 14:54 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) melantik Aida Aziza Mohd Jamaludin, Ketua Pegawai Kewangan Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif serta ahli Jawatankuasa Audit, berkuat kuasa hari ini.

 

MHB dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan Aida Aziza adalah serentak dengan berakhirnya perkhidmatan Shamsul Bahar Ahamad Zainal Badri, 57, sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif pada hari yang sama susulan pertukaran wakil pemegang saham.

 

Menurut MHB, tiada perselisihan antara Shamsul dengan lembaga pengarah dan tiada perkara yang perlu dimaklumkan kepada pemegang saham.

 

Aida, 53, menganggotai Jawatankuasa Audit bersama pengerusinya, Mariah Mohamad Said, dan Mohammad Salmi Abdullah. Kedua-duanya ialah pengarah bebas dan bukan eksekutif.

 

Petronas merupakan pemegang saham utama MISC Berhad, syarikat induk MHB. Menurut MHB, jawatan Aida di Petronas serta peranannya sebagai pengarah dalam kumpulan Petronas dan syarikat yang mungkin mempunyai kaitan dengan Petronas berpotensi menimbulkan konflik kepentingan.

 

Pengalaman kewangan di Petronas

MHB berkata, langkah untuk menangani potensi konflik kepentingan itu telah tersedia dan syarikat akan terus memantau serta menilainya. Aida tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama MHB dan tidak memiliki sekuriti dalam MHB atau anak syarikatnya.

 

Aida sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Petronas Gas Berhad dan memegang jawatan kanan dalam bidang perakaunan kewangan dan pelaporan kumpulan di Petronas.

 

Beliau mempengerusikan lembaga pengarah syarikat Trans Thai-Malaysia di Malaysia dan Thailand. Beliau juga ialah pengarah TTM Sukuk Berhad, PFLNG 3 Sdn Bhd, Petronas LNG Sdn Bhd dan Petronas Energy & Gas Trading Sdn Bhd.

 

Aida turut menganggotai lembaga pengarah WDDM Energy Ltd, PICL (Egypt) Corporation Limited dan Petronas LNG Ltd serta menjadi penasihat kepada lembaga pengarah PLNG (Shanghai) Co Ltd.

 

Beliau ialah felo Association of Chartered Certified Accountants (FCCA) dan memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Perakaunan dan Kewangan dari Universiti Lancaster, United Kingdom. Beliau juga menamatkan Program Pembangunan Pengurusan Kanan TWP dan Duke. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved