johardy17/11/2026 - 10:55 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Sunview Group Berhad menaikkan pangkat Tracy Ooi Yoong Shan sebagai Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Strategi Kumpulan daripada jawatan Ketua Pegawai Kewangan dan Korporat Kumpulan.
Pelantikan Ooi, 36, berkuat kuasa pada 16 November 2026, menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia.
Dalam jawatan terdahulunya, beliau menyelia kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko, penggabungan dan pengambilalihan serta hubungan dengan pihak berkepentingan.
Ooi menyertai Sunview sebagai Pengawal Kewangan pada 2021 sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada tahun yang sama.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Korporat Kumpulan pada Mei 2024.
Ooi turut menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Kemampanan kumpulan.

Berpengalaman dalam pengauditan syarikat tersenarai
Beliau memulakan kerjaya dalam bidang pengauditan di AdrianYeo PLT pada 2015 sebelum menyertai Crowe Malaysia PLT dan kemudian Deloitte Singapore, dengan pengalaman mengendalikan audit berkanun bagi syarikat tersenarai.
Beliau kembali ke Malaysia pada 2020 untuk menyandang jawatan Pengurus Kewangan di Green Packet Berhad sebelum menyertai Sunview pada tahun berikutnya.
Ooi memiliki kelayakan profesional MIA daripada Institut Akauntan Malaysia dan FCCA daripada Association of Chartered Certified Accountants, serta Diploma Perakaunan daripada SEGi University College.
Menurut makluman di Bursa Malaysia, beliau memegang 9.027 juta saham dalam Sunview.
Syarikat turut memaklumkan beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mana-mana pengarah atau pemegang saham utama, serta tiada konflik kepentingan dengan Sunview. - DagangNews.com





