hamden24/11/2026 - 15:06 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov – Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 29% kepada RM36.39 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), disokong sumbangan lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat dan marin.
Peningkatan itu dicatatkan ketika hasil kumpulan melonjak hampir 36% kepada RM692.23 juta berbanding RM509.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, menurut pemfailan syarikat kepada Bursa Malaysia.
Prestasi segmen kejuruteraan berat disokong peningkatan hasil sebanyak 20% berikutan projek yang sedang dilaksanakan memasuki fasa pembinaan lebih tinggi, selain penyelesaian projek selepas fasa pelepasan dari limbungan (sail-away).
Sementara itu, hasil segmen marin melonjak 89% apabila projek penukaran kapal terapung terus mencatatkan kemajuan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keuntungan operasi kumpulan sebanyak 18% kepada RM37.51 juta berbanding RM31.65 juta sebelumnya.
MHB tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku berkenaan. Setakat 30 September 2026, kumpulan mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM427.68 juta, berbanding pinjaman berjumlah RM361.79 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), keuntungan bersih kumpulan melonjak lebih 120% kepada RM111.27 juta daripada RM50.56 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 58% kepada RM2.20 bilion berbanding RM1.39 bilion.
Mengulas prospek, MHB menjangkakan aktiviti dalam sektor tenaga dan marin kekal stabil meskipun berdepan ketegangan geopolitik di Asia Barat serta ketidaktentuan peralihan tenaga.
Bagi segmen kejuruteraan berat, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek sedia ada, selain meneroka peluang secara terpilih di pasaran domestik dan antarabangsa merentasi sektor tenaga konvensional serta sektor tenaga baharu bagi mengekalkan buku pesanan berkualiti.
Segmen marin pula menjangkakan permintaan terhadap perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan disokong pertambahan armada kapal pengangkut gas asli cecair (LNG), selain sumbangan positif daripada projek penukaran kapal terapung yang sedang dilaksanakan.
MHB turut meneruskan inisiatif pemodenan limbungan bagi meningkatkan produktiviti, memperbaiki prestasi tempoh penyelesaian kerja dan mengukuhkan kedudukan daya saing kumpulan. - DagangNews.com






