
PETALING JAYA: Pasukan bola baling lelaki bawah 18 tahun (B-18) Malaysia muncul naib juara kejohanan IHF Trophy (U18) Zon 1B Asia 2026 selepas tewas kepada tuan rumah, Thailand pada Ahad lalu.
Malaysia terpaksa akur dengan kekalahan 29-34 pada perlawanan akhir di Thailand National Sport University yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang tinggi.
Ketua jurulatih Malaysia , Syihabuddin Ismail berkata, skuad negara negara mempamerkan keupayaan untuk bersaing dengan Thailand, malah pernah mendahului lawan pada satu ketika.
Bagaimanapun Syihabudin yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di Kuala Krai, kelantan berkata, beberapa peluang keemasan yang gagal dimanfaatkan, khususnya ketika serangan pantas menjadi antara faktor yang menyukarkan Malaysia untuk mengatasi tuan rumah.
“Pada aksi final, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk menang. Buktinya, pasukan negara pernah mendahului Thailand pada satu ketika. Cuma pemain kita terlalu gopoh sehingga beberapa kali mensia-siakan peluang.
“Struktur pertahanan Malaysia sebenarnya agak kukuh berbanding Thailand, namun kelemahan ketika menyempurnakan peluang serangan pantas turut memberikan kesan kepada keputusan perlawanan,” katanya.
Mengulas prestasi keseluruhan pasukan sepanjang kejohanan, Syihabuddin berkata, pemain-pemain muda negara menunjukkan peningkatan mutu permainan yang amat memberangsangkan, termasuk kebolehan beraksi pelbagai posisi.
Beliau turut menyifatkan pencapaian meraih pingat perak itu sebagai perkembangan positif berbanding penyertaan terdahulu, memandangkan Malaysia berjaya memberikan tentangan di final sebelum tewas dengan perbezaan lima gol.
Bagi memastikan perkembangan pemain dapat diteruskan, beliau berkata perbincangan telah diadakan bersama pihak pengurusan Persatuan Bola Baling Malaysia (MAHF) untuk merangka perancangan pembangunan yang lebih teliti.
“Antara cadangan utama ialah memastikan pemain muda menjalani latihan secara berpusat di bawah satu program bersama Kelab Bola Baling Masterpiece dengan kerjasama MAHF, selain melaksanakan latihan berkala yang sistematik.
“Selain latihan berpusat, pemain juga dirancang untuk menyertai siri kejohanan terbuka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi meningkatkan pengalaman serta kematangan,” katanya.-UTUSAN
The post Malaysia naib juara IHF Trophy B-18 appeared first on Utusan Malaysia.






