Malaysia perhebat usaha muncul hab syarikat pemula niaga bertaraf dunia

LocalStartup
7 Aug 2026 • 9:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia perhebat usaha muncul hab syarikat pemula niaga bertaraf dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia memperhebat usaha memperkukuh kedudukannya sebagai hab syarikat pemula niaga bertaraf global dengan menyasarkan berada dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia menjelang 2030 menerusi penganjuran Persidangan KL20 2026 yang diberi nafas baharu serta pendekatan lebih strategik.

Berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Niaga 2026, Kuala Lumpur kini berada dalam kelompok 31 hingga 40 ekosistem syarikat pemula niaga sedang membangun di dunia, dengan nilai ekosistem dianggarkan mencecah AS$9 bilion bagi tempoh separuh kedua 2023 hingga 2025.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, penganjuran KL20 2026 yang memasuki edisi kedua dirangka bagi meneruskan momentum yang dibina sejak 2024, selain memperkukuh ekosistem negara untuk menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga secara lebih menyeluruh.

Katanya, persidangan yang akan berlangsung dari September hingga November tahun ini turut memperluaskan skop daripada empat kepada lapan fokus utama dengan penekanan terhadap penciptaan nilai ekonomi lebih tinggi, termasuk meneroka potensi ekonomi digital dan industri permainan (gaming) sebagai pemacu baharu pertumbuhan negara.

“Hasrat kita jelas, iaitu meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia menjelang 2030.

“Justeru, KL20 2026 membawa pendekatan lebih strategik bagi memastikan momentum ke arah sasaran itu dapat diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran Persidangan KL20 di sini semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan lebih bersasar, KL20 2026 akan dianjurkan di tiga lokasi iaitu Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan setiap negeri diberikan fokus mengikut kekuatan ekonomi masing-masing.

Katanya, Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) bagi menghubungkan syarikat pemula niaga dengan ekosistem industri sedia ada, manakala Johor pula akan memfokuskan pembangunan ekonomi kreatif yang dipacu oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Semua hasil dan kerjasama yang dibentuk di kedua-dua lokasi itu akan dihimpunkan di Kuala Lumpur sebagai pusat integrasi bagi memperkukuh keseluruhan ekosistem syarikat pemula niaga negara,” katanya.

Mengulas kedudukan semasa Malaysia, Akmal Nasrullah berkata, negara kini berada sekitar kelompok ke-31 dunia dalam pembangunan ekosistem syarikat pemula niaga, justeru usaha memperkukuh keseluruhan ekosistem menjadi cabaran utama bagi mencapai sasaran menjelang 2030.

Menurut beliau, antara cabaran yang dikenal pasti ialah memastikan keseluruhan rantaian ekosistem, termasuk pelabur, penyedia teknologi, agensi kerajaan serta dasar yang kondusif dapat berfungsi secara lebih lancar bagi menyokong pertumbuhan syarikat pemula niaga.

Sehubungan itu, kerajaan sedang meneliti keberkesanan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan sejak KL20 pada 2024, termasuk memperkemaskan penyelarasan antara agensi serta menambah baik platform tetingkap tunggal bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang dihadapi syarikat pemula niaga.

“Kita bukan sekadar mahu mengejar kedudukan atau angka pelaburan yang besar, sebaliknya mahu memastikan ekosistem dan persekitaran yang diwujudkan benar-benar kondusif untuk syarikat pemula niaga berkembang secara mampan,” katanya.

Akmal berkata, Malaysia mempunyai beberapa kelebihan kompetitif termasuk prestasi ekonomi yang memberangsangkan, kumpulan bakat tempatan yang berpotensi diperkasakan serta pendekatan kerjasama serantau dan global bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga.

Katanya, pendekatan itu bukan berasaskan persaingan semata-mata, sebaliknya menggalakkan kerjasama antara pelabur antarabangsa, pemain industri dan rakan tempatan bagi mempercepat pembangunan ekosistem syarikat pemula niaga negara.

“Kerajaan mahu memastikan pertumbuhan syarikat pemula niaga bukan hanya diukur melalui peningkatan kedudukan global atau jumlah pelaburan, tetapi turut disokong pembaharuan struktur serta ekosistem yang mampu menjamin pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

The post Malaysia perhebat usaha muncul hab syarikat pemula niaga bertaraf dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved