Perbelanjaan pertahanan bukan ditujukan untuk mana-mana negara

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 4:32 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Perbelanjaan pertahanan bukan ditujukan untuk mana-mana negara

PETALING JAYA: Keperluan meningkatkan perbelanjaan pertahanan bukan semata-mata didorong perkembangan serantau, sebaliknya disebabkan faktor ancaman siber dan elektromagnetik serta kempen penyebaran maklumat palsu secara besar-besaran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, selain itu peningkatan aktiviti dan kehadiran ketenteraan di rantau ini khususnya susulan persaingan strategik antara kuasa besar yang semakin sengit memerlukan negara meningkatkan tahap persediaan serta memperkukuh aset dan keupayaan pertahanan negara

Katanya, bagaimanapun langkah meningkat perbelanjaan pertahanan bukan ditujukan khusus untuk mana-mana negara.

“Malaysia tidak pernah melihat mana-mana negara termasuk negara serantau sebagai ancaman apabila satu pihak meningkatkan kehadiran atau keupayaan ketenteraannya, adalah sesuatu yang semula jadi jika pihak lain turut memberikan tindak balas.

“Keadaan ini mewujudkan persekitaran keselamatan yang lebih kompleks bagi negara seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya peruntukan pertahanan ditingkatkan serta keupayaan pertahanan di Sabah diperkukuh, susulan kebimbangan terhadap perkembangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Filipina.
Semalam, Anwar berkata, keperluan memperkukuh keupayaan pertahanan negara perlu dilihat dalam konteks perubahan geopolitik serantau, khususnya peningkatan ketegangan antara AS dan China.
Menurut Mohamed Khaled, kebimbangan utama Malaysia adalah terhadap kemungkinan berlakunya kesan yang tidak disengajakan.

Katanya, apabila semakin banyak aset ketenteraan beroperasi dalam ruang geografi yang agak terhad, kemungkinan berlakunya kesilapan pertimbangan, salah faham atau insiden kecil yang akhirnya meningkat menjadi sesuatu yang lebih serius juga secara semula jadi bertambah.

Justeru Mohamed Khaled berkata, kedudukan geografi Malaysia telah menjadi pertimbangan penting dalam menilai perkembangan keselamatan serantau, khususnya di sekitar selatan Filipina berhampiran Sabah.

Jelasnya, sebarang peningkatan ketegangan di kawasan berdekatan Malaysia, walaupun tidak melibatkan negara secara langsung, berpotensi memberi implikasi lebih luas terhadap keselamatan negara dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Pada masa sama, kita menghormati hak Filipina, sebagaimana negara berdaulat lain, untuk menentukan aturan pertahanan dan kerjasama masing-masing berdasarkan keperluan keselamatan mereka.

“Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Filipina dan penting untuk kita terus membuka ruang komunikasi bagi mengurus sebarang kemungkinan salah faham,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan serantau juga tidak seharusnya dilihat sebagai Malaysia memilih mana-mana pihak dalam persaingan antara kuasa-kuasa besar.

“Kebimbangan kita adalah untuk mengekalkan kestabilan serantau dan memastikan persaingan strategik antara kuasa-kuasa besar tidak membawa kesan yang tidak disengajakan kepada negara-negara ASEAN.

“Sebab itu Malaysia perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara. Ia bukan ditujukan terhadap Filipina, Amerika Syarikat, China atau mana-mana negara lain,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, pemodenan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menjadi sebahagian daripada perancangan pertahanan jangka panjang negara.

“Hasrat untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara berperingkat sehingga 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 perlu difahami dalam konteks memperkukuh keupayaan pertahanan negara.

“Pada masa sama, kita turut memperkukuh keupayaan di kawasan yang mempunyai kepentingan strategik kepada Malaysia, termasuk Pulau Layang-Layang.

“Sekali lagi, langkah ini adalah berkaitan pertahanan dan kepentingan nasional, bukannya sebagai tindak balas atau ditujukan terhadap mana-mana negara tertentu,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, pendekatan Malaysia terhadap keselamatan serantau berteraskan dua landasan, iaitu memastikan negara mempunyai keupayaan mencukupi untuk melindungi kedaulatan dan kepentingan nasional, selain terus mengutamakan kestabilan, dialog dan diplomasi.

Bagi Laut China Selatan, katanya, Malaysia berharap semua pihak terus mengamalkan sikap sederhana dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan.
“Malaysia akan terus menyokong ASEAN Centrality serta pendekatan ASEAN yang menyediakan ruang untuk dialog, termasuk dalam isu yang melibatkan perbezaan pandangan dan tuntutan bertindih.

“Kita mahu rantau ini terus kekal stabil, terbuka dan aman. Itulah keutamaan kita,” katanya. – UTUSAN

The post Perbelanjaan pertahanan bukan ditujukan untuk mana-mana negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved