Pelabuhan Tanjung Pelepas langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB

LocalEnvironment
19 Oct 2026 • 4:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelabuhan Tanjung Pelepas langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB Image from: Pelabuhan Tanjung Pelepas langgan 16 GWh tenaga hijau sebulan bersama TNB liza19/10/2026 - 16:19 Penggunaan GET mempercepatkan peralihan PTP kepada tenaga boleh baharu serta menjadi langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melanggan 16 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik hijau sebulan menerusi kerjasama strategik dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB), sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan pelepasan karbon operasi pelabuhan itu.

 

PTP yang merupakan anggota Kumpulan MMC melanggan 16,000 blok di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET) bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027, sekali gus membolehkannya beralih kepada penggunaan 100% tenaga elektrik boleh baharu menerusi program berkenaan.

 

Langganan itu menjadikan PTP sebagai pelanggan GET terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia setakat ini, menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat.

 

Menerusi program GET, PTP akan menerima Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC) yang sepadan dengan langganan tenaga hijau berkenaan bagi menyokong strategi kelestariannya.

 

Sasaran pengurangan karbon 45% menjelang 2030

Strategi itu menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 sebelum mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, selaras dengan sasaran negara.

 

Program GET membolehkan pelanggan TNB mendapatkan bekalan elektrik yang diperakui sebagai tenaga boleh baharu melalui grid elektrik sedia ada. Pelanggan dikenakan tarif asas biasa bersama caj premium hijau mengikut kategori, selain menerima mREC setiap tahun.

 

PTP berkata penggunaan GET mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pemindahan kapal global yang mampan, selain menjadi penanda aras baharu bagi penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor maritim dan logistik Malaysia.

 

Kerjasama itu turut menunjukkan bagaimana pengendali infrastruktur sedia ada yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar boleh memanfaatkan tenaga boleh baharu yang diperakui bagi menyokong sasaran kelestarian dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

PTP-TNB pacu peralihan tenaga sektor maritim

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata langganan itu bukan sekadar perjanjian kontrak, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat untuk memimpin industri maritim ke arah masa depan yang lebih mampan.

 

Menurut beliau, penggunaan GET mempercepat peralihan PTP kepada tenaga boleh baharu serta menjadi langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.

 

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bukanlah dua perkara yang bertentangan, malah kedua-duanya menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang dan daya tahan PTP dalam landskap global yang sentiasa berubah.

 

“Penggunaan program itu juga membolehkan PTP menyokong pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia, dengan operasi terminal pelabuhan berkenaan memanfaatkan sumber elektrik yang lebih bersih,” katanya.

 

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Sri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata syarikat itu komited untuk membolehkan lebih banyak perniagaan menyertai peralihan negara ke arah sistem tenaga yang lebih bersih dan mampan.

 

Menurut beliau, penyediaan akses kepada penyelesaian tenaga boleh baharu dapat membantu perniagaan mencapai matlamat alam sekitar, di samping mengekalkan daya saing dalam jangka panjang.

 

Beliau berkata kerjasama dengan PTP juga boleh menjadi pemangkin kepada sektor maritim dan logistik untuk menerima peralihan tenaga, khususnya dalam menyokong usaha Malaysia mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Sokong pertumbuhan ekonomi hijau Johor

Kerjasama itu turut menyokong usaha Malaysia mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan karbon merentas sektor ekonomi, khususnya industri yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar serta memainkan peranan penting dalam perdagangan negara.

 

Sebagai hab ekonomi utama di Johor, penggunaan GET oleh PTP juga menyokong aspirasi negeri itu untuk membangunkan ekonomi hijau, selain memperkukuh peranan pengendali infrastruktur utama dalam memacu pertumbuhan mampan.

 

PTP merupakan hab pemindahan kapal paling sibuk di Malaysia dengan kapasiti pengendalian sebanyak 14 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun. Pelabuhan itu dimiliki bersama MMC Corporation Berhad sebanyak 70% dan APM Terminals sebanyak 30%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved