johardy12/11/2026 - 18:03 KUALA LUMPUR 12 Nov - Malaysia memilih Turkiye sebagai negara pilihan untuk membekalkan peluru berpandu alternatif iaitu Atmaca bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) dari Norway untuk projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan menilai cadangan daripada beberapa negara termasuk Turkiye, Perancis dan Itali.
Menurut beliau, penilaian tersebut mengambil kira faktor harga, tempoh penghantaran dan kos pendahuluan.
“Kita telah menjalankan penilaian dan kini sampai ke peringkat menentukan bahawa Turkiye merupakan negara terbaik untuk mendapatkan peluru berpandu alternatif.
“Kita akan mengadakan rundingan lanjut dengan pihak Turkiye bagi memuktamadkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Inovasi Kementerian Pertahanan 2026 di Auditorium Mindef hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan turut menerima jaminan mengenai keserasian peluru berpandu berkenaan serta keupayaannya untuk diintegrasikan dengan sistem kapal LCS.
Bagaimanapun, aspek keserasian dan integrasi tersebut akan diteliti dengan lebih lanjut dalam rundingan bersama syarikat dari Turkiye. — Bernama






