
KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk memilih peluru berpandu antikapal Atmaca buatan Turkiye sebagai calon pengganti sistem peluru berpandu antikapal (NSM) susulan pembatalan permit eksport oleh kerajaan Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti beberapa pertimbangan termasuk daripada segi kos, tempoh masa perolehan dan integrasi system pengurusan tempur (CMS).
Beliau berkata, rundingan akan diadakan bersama wakil syarikat dan kerajaan Turkiye bagi mendapatkan peluru berpandu Atmaca sebelum keputusan perolehan dimuktamadkan dalam tempoh yang akan ditetapkan
“Kita putuskan misil dari Turkiye adalah yang terbaik untuk kita pertimbang bagi menggantikan NSM buatan syarikat Roketsan.
“Semua diberi jaminan dalam aspek kemampuan dan integrasi dengan CMS. Jadi ini diperhalusi dan kita akan mula rundingan dengan syarikat Türkiye iaitu Roketsan,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.- UTUSAN
The post Atmaca Turkiye pengganti sistem peluru berpandu antikapal appeared first on Utusan Malaysia.






