
KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan sifar kemalangan maut melibatkan penerbangan komersial menjelang Disember 2028 menerusi Pelan Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026-2028.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelan itu menetapkan keutamaan keselamatan penerbangan negara bagi tempoh tiga tahun dengan sasaran yang jelas dan boleh diukur.
Katanya, antara sasaran utama adalah mencapai skor Effective Implementation (EI) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028.
“Paling penting, pelan ini menterjemahkan aspirasi kepada tindakan yang boleh diukur.
“Objektifnya termasuk mengekalkan sifar kemalangan maut dalam penerbangan komersial, mencapai skor EI ICAO sekurang-kurangnya 90 peratus menjelang Disember 2028 serta mengurangkan insiden serius dan kejadian berkaitan keselamatan landasan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan pada Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2026 (MASS’26) di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Loke, pelan berkenaan turut memberi penekanan kepada pengukuhan sistem pelaporan keselamatan dan diselaraskan dengan Pelan Keselamatan Penerbangan Global ICAO serta Pelan Keselamatan Penerbangan Serantau Asia Pasifik.
Katanya, pendekatan kerajaan bertumpu kepada tiga keutamaan iaitu memastikan badan kawal selia kekal berkeupayaan dan berkesan, prestasi keselamatan dapat diukur secara telus serta peraturan sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi.
“Peningkatan dalam laporan keselamatan tidak seharusnya dilihat sebagai petunjuk bahawa sistem penerbangan semakin tidak selamat.
“Budaya pelaporan yang sihat memberikan gambaran lebih jelas mengenai bahaya, menggalakkan tindakan awal dan membolehkan pengajaran dikongsi sebelum sesuatu kejadian bertukar menjadi kemalangan,” katanya.
Tambahnya, perkembangan automasi dan teknologi autonomi turut membawa cabaran baharu termasuk kebergantungan terhadap teknologi, ancaman keselamatan siber serta risiko berkaitan faktor manusia.
Justeru, katanya, inovasi dalam sektor penerbangan perlu berkembang seiring dengan tadbir urus, jaminan keselamatan dan akauntabiliti yang kukuh.
MASS’26 dianjurkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dengan sumbangan teknikal Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) dan Boeing serta berlangsung bersempena Persidangan Ketua-Ketua Pengarah Penerbangan Awam Rantau Asia dan Pasifik ke-61. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia sasar sifar kemalangan maut penerbangan menjelang 2028 appeared first on Kosmo Online.






