
KUALA LUMPUR: Industri penerbangan perlu memanfaatkan risikan keselamatan serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menganalisis maklumat dan membantu mencegah kemalangan udara.
Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud berkata, aspek keselamatan memang menjadi tanggungjawab peribadi setiap individu selain kewajipan masing-masing mencegah kehilangan nyawa.
“Bayangkan kita masuk ke dalam bilik yang dipenuhi fail, rekod dan bahan audit. Kita tidak mempunyai masa untuk meneliti semuanya. Kita memerlukan alat (teknologi).
“Matlamat kita adalah menggunakan risikan keselamatan untuk mencegah kemalangan seperti yang berlaku dua hari lalu. Itulah sasaran kita,” katanya semasa Malaysia Aviation Safety Seminar 2026 (MASS ’26), di sini, hari ini.
Norazman mengulas mengenai nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara di Long Lellang, Sarawak, yang mengorbankan lima nyawa kelmarin.
Menurutnya, aspek keselamatan kadangkala dianggap sebagai perkara biasa atau membosankan namun hakikatnya ia amat penting kerana membabitkan nyawa manusia.
“Mengapa hati saya sentiasa hancur apabila perkara seperti ini berlaku? Kerana nyawa menjadi taruhan. Nyawa yang sangat berharga kepada kita.
“Inilah semangat MASS dan perkara yang mahu kita tanamkan dalam diri semua. Setiap kali bercakap mengenai keselamatan, ia seharusnya menyentuh hati kita,” jelasnya.
Norazman berkata, penggunaan AI dan pelbagai bentuk risikan lain pada masa depan berupaya membantu industri penerbangan mencapai sasaran sifar kematian akibat kemalangan.
“Ya, kita boleh panggil ia AI atau apa sahaja bentuk kecerdasan. Namun, kita berharap suatu hari nanti, dengan sasaran sifar kematian, kita mampu mencapainya melalui apa yang kita cipta bersama, dengan memanfaatkan kepakaran dan pemikiran hebat yang ada,” ujarnya.
Menyentuh mengenai MASS ’26, katanya, seminar berkenaan menghimpunkan pengetahuan dan pengalaman luas yang boleh dianalisis bagi menghasilkan risikan keselamatan.
“Kita cuba menggunakan semua sumber, pemikiran dan kepakaran hebat yang ada dalam bilik ini.
“Hari ini kita mempunyai kira-kira 500 peserta, bersamaan kira-kira 5,000 tahun pengalaman dan pengetahuan yang perlu kita olah, analisis dan manfaatkan bagi mencegah kemalangan,” jelasnya.
Norazman berkata, seminar berkenaan turut bertujuan memupuk budaya keselamatan yang lebih kukuh dalam industri penerbangan. – UTUSAN
The post AI, risikan keselamatan bantu cegah kemalangan udara appeared first on Utusan Malaysia.





