Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama pendidikan

16 Oct 2026 • 12:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama pendidikan

PETALING JAYA – Malaysia dan Singapura mahu memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan bagi membuka lebih banyak peluang kepada murid dan guru di kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee, baru-baru ini.

Menurut beliau, antara fokus utama kerjasama itu ialah meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid menerusi Malaysia–Singapore English Volunteers Programme (MSEVP).

“Kami turut membincangkan program pertukaran guru Bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkongsi pengalaman serta kaedah pengajaran berkesan.

“Selain itu, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan turut menjadi antara perkara yang dibincangkan, termasuk perkongsian pengalaman Malaysia menerusi platform pembelajaran digital DELIMa,” katanya.

Fadhlina berkata, kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuh program jaringan sekolah bagi memberi peluang kepada murid mengenali budaya serta belajar bersama rakan dari negara jiran.

Beliau berkata, setiap negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang pendidikan yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

“Paling penting, kerjasama ini mesti membawa manfaat kepada guru yang mengajar dan anak-anak yang belajar,” katanya.

Tambah beliau, hubungan baik Malaysia dan Singapura perlu terus dimanfaatkan bagi memastikan kerjasama pendidikan yang dilaksanakan memberikan impak positif kepada warga pendidik serta generasi muda kedua-dua negara.- KOSMO! ONLINE

The post Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama pendidikan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved