
Malaysia menegaskan pendiriannya untuk tidak membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi satu kenyataan ringkas di laman X miliknya berkata sebarang penghantaran yang mencurigakan akan tertakluk kepada pemeriksaan dan siasatan mengikut undang-undang Malaysia.
Konflik Iran-Israel: Malaysia Hargai Peranan Qatar Dalam Usaha Gencatan Senjata
Kapal Israel Dilarang Berlabuh Di Mana-mana Pelabuhan Malaysia – PM
“Pendirian Malaysia adalah jelas dan tegas. Kami tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai laluan bagi sebarang penghantaran yang menyokong atau menyumbang kepada keupayaan ketenteraan Israel serta kekejamannya terhadap rakyat Palestin dan nyawa orang awam lain yang tidak bersalah.
“Sebarang penghantaran yang mencurigakan akan tertakluk kepada pemeriksaan dan siasatan mengikut undang-undang Malaysia. Sekiranya didapati berlaku pelanggaran, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Anwar berkata demikian susulan laporan media asing mengenai rampasan beberapa lagi penghantaran yang dilaporkan menuju ke Israel di salah sebuah pelabuhan terbesar negara.





