
PETALING JAYA – Malaysia dan Türkiye menyasarkan untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala kepada AS$10 bilion (RM42.3 bilion) setahun, selaras usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sasaran itu antara perkara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Türkiye ke Malaysia yang baharu, Dr. Nevzat Uyanık.
Menurut beliau, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha menangani ketidakseimbangan perdagangan secara konstruktif dan saling menguntungkan.
“Kerjasama dalam industri halal turut diberi perhatian, termasuk minat Türkiye untuk mempelajari pengalaman serta piawaian halal Malaysia.
“Selain itu, terdapat peluang untuk memperluas kerjasama dalam aspek keterjaminan tenaga,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Johari berkata, beberapa isu membabitkan urus niaga syarikat Türkiye dengan pihak di Malaysia turut dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan.
“Saya telah meminta maklumat lengkap supaya perkara tersebut dapat diteliti dan disusuli dengan pihak berkaitan.
“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan industri dengan Türkiye demi manfaat bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia -Türkiye sasar dagangan USD10 bilion setahun appeared first on Kosmo Digital.






