
Malaysia tidak akan mampu menjadi sebuah negara besar sekiranya rakyat terus terperangkap dalam prasangka kaum dan perbezaan yang sempit, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kekuatan Malaysia terletak pada kesediaan rakyat menerima hakikat bahawa masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan serta kaum lain merupakan sebahagian daripada satu keluarga besar yang berkongsi tanah air dan masa depan yang sama.
“Kepelbagaian bukan kelemahan kita. Ia khazanah dan kekuatan Malaysia.
“Kita harus menyuburkannya sambil bersama-sama membina sebuah negara yang bersih daripada rasuah, kukuh perpaduannya dan berani melangkah sebagai satu bangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Anwar, perkara itu ditegaskannya ketika menghadiri Pesta Kebudayaan Cina Kebangsaan Ke-41 di Melaka, semalam.
Katanya, semangat berkenaan mencerminkan ‘Wa’ad Malaysia’, iaitu janji dan ikrar untuk mempertahankan hak setiap rakyat selain menghormati bahasa, budaya dan agama masing-masing.
Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan tiada rakyat berasa tersisih di bumi sendiri.
Baca juga:Anwar berkata, kepelbagaian masyarakat Malaysia seharusnya terus dipelihara sebagai kekuatan bersama dalam membina masa depan negara.






