
SEREMBAN – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa dikesan cuba menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum bahan terlarang itu dibawa ke pasaran luar negara.
Ini selepas Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) JKDM merampas 722.9 kilogram (kg) dadah bernilai RM42.827 juta dalam empat operasi bermula 7 hingga 21 Julai lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, operasi itu turut membawa kepada penahanan empat individu berusia 30 hingga 40 tahun terdiri daripada tiga rakyat tempatan dan seorang warga Vietnam.
“Dadah ini dipercayai bukan untuk pasaran tempatan, sebaliknya Malaysia dijadikan lokasi transit sebelum dihantar ke destinasi lain termasuk pasaran Eropah. Sindiket menggunakan pelbagai lokasi dan modus operandi bagi mengaburi mata pihak berkuasa termasuk sembunyikan dadah bersama barangan dagangan,” katanya dalam sidang akhbar di Kampung Jijan di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi pertama di sebuah gudang di Meru, Klang, Selangor pada 7 Julai lalu, pihaknya menjumpai 197 bungkusan lutsinar berisi tumbuhan hijau disyaki ‘cannabis bud’ atau bunga ganja seberat 51.4kg bernilai RM4.11 juta.
“Dadah itu disembunyikan dalam kotak bercampur pes cili, lampin pakai buang dan makanan kering. Dalam serbuan di sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang pada 8 Julai, kita merampas 153 bungkusan bunga ganja seberat 160.6kg bernilai RM12.84 juta,” katanya.
Sementara itu, dalam kes ketiga pada 9 Julai, Unit Anjing Pengesan (K9) Cawangan Narkotik menjalankan pemantauan khas terhadap sebuah kotak di Pos Malaysia International Hub, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dan menemukan 3.3kg MDMA dan dua kilogram methamphetamine.
Menurut beliau, rampasan terbesar dilakukan pada 21 Julai membabitkan 505.6kg ketamin bernilai RM25.28 juta yang disorok dalam kotak bercampur serbuk koko di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam hasil maklumat Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE
The post Sorok bunga ganja bersama pes cili, lampin pakai buang appeared first on Kosmo Digital.






