
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang menunggu maklum balas daripada syarikat pembekal peluru berpandu antikapal (NSM) dalam usaha menyelesaikan segera isu bekalan persenjataan kapal tempur pesisir (LCS).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan selain mengemukakan tuntutan berkaitan perkara tersebut.
“Kita telah berbincang dengan syarikat pembekal NSM dan mengemukakan tuntutan kita. Kini, kita sedang menunggu maklum balas daripada mereka.
“Apabila menerima maklum balas, saya perlu merujuk perkara itu kepada kerajaan untuk mendapatkan pertimbangan dan keputusan selanjutnya,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, kementeriannya sedang berusaha keras untuk memastikan isu bekalan peluru berpandu bagi kapal tempur pesisir dapat segera diselesaikan.
“Kita sedang berusaha keras untuk memastikan isu bekalan peluru berpandu bagi kapal LCS dapat diatasi segera.
“Apabila tiba masanya, saya akan memaklumkan kepada pihak media mengenai keputusan yang akan dibuat,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang mempertimbangkan pembelian sistem peluru berpandu antikapal daripada empat negara termasuk Turkiye dan Korea Selatan untuk digunakan pada kapal LCS.
Perkara itu masih dalam peringkat penilaian bagi memastikan kemampuan tembakannya selari dengan sistem senjata yang digunakan pada kapal berkenaan.
Selain harga dan teknologi, tempoh pembekalan turut menjadi pertimbangan dengan keutamaan diberikan kepada negara yang mampu membekalkannya dalam tempoh antara satu hingga dua tahun.-UTUSAN
The post Malaysia tunggu maklum balas syarikat pembekal peluru berpandu appeared first on Utusan Malaysia.






