Malaysia uji dagangan bon kerajaan secara digital bagi kurangkan risiko transaksi

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia uji dagangan bon kerajaan secara digital bagi kurangkan risiko transaksi Image from: Malaysia uji dagangan bon kerajaan secara digital bagi kurangkan risiko transaksi sarah20/11/2026 - 12:08 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - Malaysia melaksanakan urus niaga perintis Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) menggunakan teknologi digital buat pertama kali, sekali gus membuka laluan kepada sistem dagangan bon yang lebih cekap serta berpotensi mengurangkan risiko dalam proses pembayaran dan pemindahan sekuriti.

 

Urus niaga itu dilaksanakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) bersama Etiqa Life Insurance Bhd menerusi projek perintis di bawah Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) Bank Negara Malaysia (BNM), yang bertujuan meneroka penggunaan teknologi baharu dalam sistem kewangan negara.

 

Melalui projek tersebut, MGS ditukarkan kepada bentuk rekod digital atau token, membolehkan proses pembayaran dan pemindahan sekuriti diselaraskan menggunakan sistem yang boleh melaksanakan transaksi secara automatik berdasarkan syarat ditetapkan.

 

Pendekatan itu dikenali sebagai 'delivery-versus-payment' (DvP), iaitu kaedah yang menyelaraskan penyerahan sekuriti dengan pembayaran bagi mengurangkan risiko satu pihak menyerahkan aset tanpa menerima bayaran yang sepatutnya.

 

Buka laluan kepada sistem kewangan lebih cekap

Menurut Maybank dalam kenyataan, projek perintis berkenaan menunjukkan bagaimana sekuriti digital, deposit digital dan perkhidmatan penyimpanan aset boleh digabungkan dalam satu proses transaksi yang menghubungkan teknologi rantaian blok dengan infrastruktur kewangan konvensional.

 

Teknologi tersebut berpotensi memudahkan pergerakan tunai, sekuriti dan aset cagaran antara institusi kewangan, selain mengurangkan risiko penyelesaian transaksi serta meningkatkan kecairan dan kecekapan penggunaan modal.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan itu masih pada peringkat perintis dan belum bermaksud semua urus niaga bon kerajaan Malaysia akan beralih kepada sistem digital sepenuhnya.

 

Potensi perluas dagangan aset digital

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata, Beliau berkata, penggunaan teknologi tokenisasi berpotensi mengubah cara pasaran kewangan beroperasi dengan membolehkan aset, tunai dan transaksi bergerak dengan lebih cekap, termasuk menyokong aliran kewangan rentas sempadan ketika ASEAN menuju integrasi ekonomi digital yang lebih mendalam.

 

Beliau berkata, fasa seterusnya akan memberi tumpuan kepada peluasan infrastruktur bagi menyokong penggunaan komersial, termasuk bon, deposit dan aset digital lain, dengan kerjasama penyedia teknologi serta peserta industri.

 

Sebelum ini, Maybank turut melaksanakan transaksi pertukaran ringgit kepada dolar Singapura dan pembayaran rentas sempadan menggunakan teknologi rantaian blok bagi Yinson Holdings Bhd, selain terlibat dalam penerbitan sukuk digital pertama Malaysia oleh Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved