Malaysia utamakan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang - Mohamad

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 6:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia utamakan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang - Mohamad
Mohamad (tengah) menyantuni pesakit lumpuh dan saraf Ahmad Khairul Anuar Mohd Zabidi (kiri) pada Program Ziarah Kasih Tokmat di Taman Pinggiran Senawang, Seremban hari ini. Foto: Bernama

SEREMBAN - Malaysia memberi jaminan aspek keselamatan pelarian Myanmar yang akan dihantar pulang ke negara asal diberikan keutamaan bagi memastikan kebajikan dan nyawa mereka terpelihara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia tidak mahu dilihat sebagai negara yang tidak berperikemanusiaan kerana menghantar pulang pelarian sekiranya nyawa dan keselamatan mereka terancam di negara asal.

Beliau turut bercadang untuk berunding dengan kerajaan Myanmar supaya mewujudkan kawasan khas di Rakhine untuk mereka yang akan dihantar pulang tinggal di situ.

"Kita mahu ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni penduduk pada program Ziarah Kasih di Taman Pinggiran Senawang, di sini hari ini.

Selain itu, Mohamad berkata, kerjasama antara Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) penting bagi menyemak serta mengesahkan status dan keadaan keselamatan pelarian itu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Myanmar sedia membawa pulang 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia dengan menggunakan kapal.

Mohamad berkata, ASEAN turut memandang serius isu pelarian Myanmar yang perlu ditangani secara bersama-sama oleh negara anggota dan Konsensus Lima Perkara (5PC) perlu kekal menjadi teras dalam menangani krisis di negara itu.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia bersedia memulakan proses penghantaran pulang pelarian itu secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah dikenal pasti statusnya.

"Saya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Luar berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka pulang secara berperingkat.

"Tidak perlu menunggu hingga 5,000 orang… kalau sudah dikenal pasti 1,000 orang boleh dihantar balik,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved