Malaysia pastikan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang

14 Aug 2026 • 5:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia pastikan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang

SEREMBAN: Kerajaan akan memastikan keselamatan pelarian Myanmar terjamin sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal secara berperingkat.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian agar Malaysia tidak dilihat sebagai negara yang tidak berperikemanusiaan jika menghantar pulang pelarian berkenaan dalam keadaan keselamatan mereka masih terancam.

Menurutnya, pihaknya juga bercadang untuk berunding dengan kerajaan Myanmar bagi mewujudkan satu kawasan khas di Rakhine sebagai penempatan sementara pelarian yang dihantar pulang.

“Adalah lebih selamat jika diwujudkan satu kawasan di dalam Rakhine itu sendiri untuk mereka dibawa balik dan tinggal di kawasan tersebut.

“Jika boleh, kita mahu supaya ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penduduk pada Program Ziarah Kasih Tok Mat di Taman Pinggiran Senawang, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, langkah itu dilihat lebih selamat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terus terpelihara selepas kembali ke negara itu.

Bagaimanapun, katanya, status dan tahap keselamatan setiap pelarian perlu dikenal pasti terlebih dahulu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Itu kita kena pastikan status mereka. UNHCR bersama-sama dengan KDN kena kenal pasti macam mana keadaan mereka, apakah mereka ini terancam apabila mereka dihantar balik nanti.

“Itu yang saya katakan tadi, supaya keselamatan mereka itu terjamin apabila mereka dihantar balik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia bersedia memulakan proses penghantaran pulang pelarian Myanmar secara berperingkat.

“Saya telah meminta Ketua Setiausaha (KSU) untuk berhubung dengan Kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka ini (pelarian) pulang secara beransur-ansur.

“Tak perlu tunggu sampai 5,000 orang dikenal pasti. Sudah dikenal pasti lebih 1,000 ini, boleh hantar balik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Myanmar menyatakan kesediaan untuk membawa pulang 5,000 pelarian negara itu menggunakan kapal.

Mohamad dilaporkan berkata, perkara itu dimaklumkan ketika pertemuannya bersama Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe baru-baru ini, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keselamatan pelarian terbabit. – UTUSAN

The post Malaysia pastikan keselamatan pelarian Myanmar sebelum dihantar pulang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved