liza05/01/2026 - 17:10 Ilustrasi projek Mutiara Kempas apabila siap kelak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Jan – Malton Berhad secara rasmi membuka Galeri Jualan Mutiara Kempas di Kempas, Johor untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat secara dekat projek apartmen servis baharu mereka di Iskandar Malaysia.
Projek kediaman pertama Malton di Iskandar Malaysia itu menyasarkan golongan professional sebagai pembeli dengan akses mudah ke pusat bandar dan perjalanan rentas sempadan ke Singapura.
Terletak di kawasan seluas 2.8 ekar di Jalan Kempas Baru, projek itu dibangunkan di kawasan perumahan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pusat membeli-belah, restoran, hiburan, pusat kesihatan dan institusi pendidikan.
Pengarah Eksekutif Malton Berhad Datuk Hong Lay Chuan berkata antara destinasi utama berhampiran ialah Paradigm Mall Johor Bahru, AEON Mall Bandar Dato’ Onn, Kempas Medical Centre, Starhill Golf & Country Club, LUCA International School dan Universiti Teknologi Malaysia.
“Projek ini juga mudah diakses dari pusat bandar Johor Bahru dan Singapura melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Eastern Dispersal Link.
“Ia terletak hanya 1.5 km dari Stesen KTM Kempas Baru yang bakal menjadi stesen kereta api terbesar di selatan Malaysia dengan perkhidmatan ulang-alik ke kompleks CIQ Johor Bahru dan akses mudah ke Singapura melalui sistem Rapid Transit (RTS) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.


Mutiara Kempas terdiri daripada sebuah menara kediaman 39 tingkat dengan 562 unit yang berkeluasan antara 801 hingga 1,024 kaki persegi.
Apartmen ini menawarkan pelan dua dan tiga bilik tidur termasuk bersesuaian untuk gaya hidup pelbagai generasi.
Unit yang disediakan sebahagiannya lengkap dengan kabinet dapur, penghawa dingin di ruang tamu dan bilik utama serta pemanas air di semua bilik mandi.
Antara kemudahan yang disediakan ialah kolam renang, gelanggang pickleball, gimnasium, dewan serbaguna, ruang kerja bersama dan taman permainan kanak-kanak.
Beliau berkata Mutiara Kempas dibina berdasarkan kejayaan Malton di Lembah Klang dan kehadiran mereka di Johor melalui projek Rapid City Centre di Pengerang.
“Pembangunan ini direka mengikut piawaian GreenRE dengan elemen lestari bagi menyokong gaya hidup cekap tenaga. Projek ini dijangka siap pada suku ketiga 2029,” katanya. - DagangNews.com

