
PERSOALAN mengenai siapakah yang mampu menggantikan Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform wanita mungkin belum memiliki jawapan muktamad, namun nama Noor Qaisara Dayana Saiful Nazam kini muncul dalam perancangan kem terjun negara.
Pada usia 12 tahun, penerjun muda Pahang itu sudah memperagakan tahap kesukaran terjunan hampir menyamai atlet yang jauh lebih berusia pada aksi Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Sudah tentu terlalu awal meletakkan Qaisara sebaris dengan Pandelela, tetapi kemunculannya memberikan sedikit sinar ketika negara masih bergelut mencari pelapis yang benar-benar mampu menghampiri standard pemenang pingat Olimpik itu.
Pengarah Teknikal kem terjun negara, Yeoh Ken Nee mengakui Qaisara merupakan antara bakat yang paling menyerlah dalam pemerhatiannya sepanjang temasya tersebut.
“Kalau ada penerjun yang boleh dilihat untuk masa depan, salah seorang ialah Qaisara dari Pahang,” katanya.
Apa yang membezakan Qaisara daripada bakat lain bukan sekadar kualiti terjunannya, tetapi keberanian melakukan terjunan dengan tahap kesukaran yang hampir menyamai seniornya seperti Eilisha Rania Abrar Raj.
Hakikatnya, tahap kesukaran merupakan antara elemen terpenting yang memisahkan penerjun berbakat dengan atlet berkelas dunia.
Perkara itu dapat dilihat menerusi aksi final 10m platform wanita apabila kualiti terjunan dipamerkan atlet Sukma masih belum cukup untuk menyamai kemampuan Pandelela.
Menurut Ken Nee, seseorang penerjun boleh memperagakan terjunan yang kemas, namun tetap sukar mengumpul mata setanding Pandelela sekiranya tahap kesukaran rutin mereka lebih rendah.
“Terjunannya mungkin cantik, tetapi tahap kesukaran masih kurang berbanding Pandelela. Pandelela memiliki dua atau tiga terjunan dengan tahap kesukaran lebih tinggi.
“Sebab itu, walaupun Pandelela melakukan sedikit kesilapan dalam terjunan, dia masih mampu mencapai sekitar 290 mata,” ujarnya.
Penilaian itu membuktikan bahawa perjalanan Qaisara untuk menjadi pengganti Pandelela masih panjang, namun kelebihan usia memberikan ruang kepadanya untuk meningkatkan kesukaran tanpa mengorbankan teknik dan konsistensi.
Ken Nee berkata, nama penerjun muda itu akan dimasukkan dalam perancangan pasukan selepas beliau menilai sendiri persembahannya di Sukma dengan sasaran jangka panjang mengintai kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
“Sepanjang berada di sini, saya bukan sekadar bertugas sebagai juri, tetapi turut memerhatikan sama ada penerjun yang bertanding mampu mencapai tahap Pandelela,” katanya.
Bagaimanapun, Qaisara hanya boleh menyertai pertandingan antarabangsa kategori terbuka apabila mencapai usia 14 tahun, sekali gus menjadikan tempoh dua tahun akan datang cukup penting untuk mempersiapkannya sebelum memburu kejohanan kelayakan terakhir LA 2028.
Qaisara belum boleh dianggap sebagai ‘Pandelela baharu’, tetapi dalam situasi negara masih mencari pewaris acara 10m platform wanita, bakat muda itu mungkin jawapan paling hampir yang dimiliki Malaysia ketika ini.
The post Mampukah Qaisara ikut jejak Pandelela? appeared first on Kosmo Digital.



