Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin, mendedahkan bahawa Perodua telah dipelawa oleh kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United, untuk menaja pasukan itu dengan menampilkan logo syarikat pada jersi mereka.
Menurut Asmat, pihaknya menerima sepucuk surat daripada Manchester United berhubung cadangan tajaan tersebut. “Ada permintaan, dan salah satu pasukan… Saya tidak pasti patutkah saya sebut, tetapi saya menerima surat daripada Manchester United yang bertanya sama ada kami mahu meletakkan logo kami pada jersi mereka dan menaja pasukan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Asmat yang juga peminat Arsenal secara berseloroh berkata bahawa pelawaan tersebut sedikit sebanyak bertentangan dengan kecenderungan peribadinya.
“Kalau kami lakukan ini untuk Manchester United, ia tidak adil untuk Arsenal, kan?” katanya secara bergurau.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Perodua sentiasa terbuka kepada peluang tajaan, terutama dalam bidang sukan di Malaysia. Namun, mereka harus berhati-hati dalam memilih pasukan yang akan ditaja bagi mengelakkan isu sentimen penyokong.
“Sebagai contoh, dalam Liga Malaysia, saya berasal dari Johor. Jika saya menyokong Johor Darul Ta’zim, mungkin saya kehilangan sokongan pelanggan dari Selangor atau Kelantan. Jadi, kami perlu memilih dengan cermat,” tambahnya.
Selain bola sepak, Perodua lebih cenderung menyokong sukan individu seperti golf dan tenis, yang menekankan pembangunan peribadi dan kemajuan atlet.
Prestasi Manchester United semakin hambar
Manchester United masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. Selepas pemecatan Erik ten Hag pada Oktober 2024, pasukan kini dibimbing oleh Ruben Amorim, namun keputusan di atas padang masih belum menunjukkan peningkatan ketara.
Sejak mengambil alih pada 11 November 2024, United hanya mencatat beberapa kemenangan dengan beberapa kekalahan mengecewakan, termasuk tewas 3-1 kepada Brighton pada 19 Januari 2025. Amorim sendiri mengakui bahawa ini mungkin merupakan salah satu musim terburuk dalam sejarah kelab.
Sumber: New Straits Times
The post Manchester United pelawa Perodua jadi penaja, pengerusinya seloroh setia pada Arsenal appeared first on The Reporter.


