Manfaatkan kepulangan KJ ke ‘rumah UMNO’

LocalPolitics
18 Mar 2026 • 7:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairy Jamaluddin

LANGKAH Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengemukakan rayuan untuk kembali menyertai UMNO bukan sekadar episod politik biasa tetapi simbol penting kepada proses pematangan parti itu sendiri.

Dalam suasana Ramadan, perkembangan itu membawa makna yang lebih besar, bukan sekadar politik tetapi nilai keinsafan, kemaafan dan usaha merapatkan kembali hubungan yang pernah renggang.

Lebih signifikan, langkah itu tidak berlaku secara bersendirian. Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengemukakan permohonan untuk kembali ke dalam parti.

Ia sekali gus membawa naratif penyatuan lebih mendalam bagi sebuah parti yang sedang berusaha mencari semula rentaknya.

Inilah masa terbaik untuk mengamalkan prinsip ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’. Politik tidak seharusnya terus dibelenggu dendam lama atau perbezaan yang tidak lagi membawa manfaat.

Episod pemecatan dan penggantungan pada Januari 2023 melibatkan Khairy, Shahril Hamdan dan Tan Sri Noh Omar wajar dilihat sebagai fasa yang telah dilalui dan perlu ditinggalkan.

Dalam ekosistem politik yang dinamik, dendam berpanjangan hanya akan melemahkan organisasi. Dengan membuka ruang kepada tokoh berkaliber seperti Khairy dan Hishammuddin, UMNO menunjukkan kematangan untuk memaafkan demi kelangsungan masa depan yang lebih besar.

Namun, penyatuan sahaja tidak mencukupi jika tidak disusuli dengan agenda yang jelas. Kembalinya tokoh-tokoh ini harus dimanfaatkan untuk memperkukuh dan menghidupkan semula kekuatan parti dari segi strategi serta kepimpinan, bukan sekadar menutup luka lama.

Kehadiran semula Khairy yang mempunyai pesona tersendiri dilihat mampu menarik kembali sokongan golongan profesional dan belia yang sebelum ini cenderung kepada gaya kepimpinan beliau.

Pada masa sama, ia berpotensi memulihkan keyakinan akar umbi yang pernah goyah akibat perpecahan di peringkat atasan.

Selepas ini, fokus utama UMNO perlu jelas iaitu memperkemas struktur parti, memperkukuh kesatuan dalaman dan membina semula kepercayaan rakyat terutama sebagai persiapan mendepani cabaran pilihan raya akan datang.