Mangsa banjir Bukit Melawati digesa daftar di PPS, elak tercicir bantuan

12 Nov 2026 • 9:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Mangsa banjir Bukit Melawati digesa daftar di PPS, elak tercicir bantuan

KUALA SELANGOR, 12 NOV: Mangsa banjir di sekitar Bukit Melawati yang belum berdaftar diminta segera hadir ke pusat pemindahan sementara (PPS) berhampiran bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, S Thiban berkata pendaftaran dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) merupakan syarat untuk menerima bantuan berkenaan, selain memerlukan pengesahan ketua kampung.

Menurut beliau, dua PPS dibuka di kawasan berkenaan, iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching dan terbaharu di Kampung Tanjung Siam selepas pusat pemindahan sedia ada tidak mampu menampung jumlah mangsa.

“PPS sedia ada tidak dapat menampung sebab itu sebahagian terpaksa dipindahkan ke kawasan lain. Bantuan diberikan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI amat membantu penduduk termasuk bantuan mangsa banjir.

“Cuma dari segi bantuan, mangsa banjir perlu hadir ke PPS untuk berdaftar dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Kalau tidak berdaftar mereka tidak akan terima bantuan.

Image from: Mangsa banjir Bukit Melawati digesa daftar di PPS, elak tercicir bantuan
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati, S Thiban ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SRA Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 12 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Cuma saya ingin sampaikan mangsa banjir yang masih belum berdaftar datang ke PPS dan akan disahkan oleh ketua kampung,” katanya selepas majlis pengagihan bantuan banjir kepada penghuni PPS SRA Bukit Kuching oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor.

Sementara itu, Ketua Kampung Kampung Bukit Kuching, Zulkipli Tugimim berkata pelbagai agensi telah menyalurkan bantuan bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mangsa banjir di PPS terpelihara.

Bagaimanapun, beliau berharap bantuan pembersihan turut disediakan di pusat pemindahan dan kediaman penduduk yang terjejas, khususnya bagi membantu warga emas sebelum pulang ke rumah.

“Terima kasih kepada Yayasan MBI beri sumbangan kepada mangsa banjir yang amat memerlukan. Cuma kita memerlukan bantuan daripada aspek pembersihan PPS dan kediaman penduduk.

Image from: Mangsa banjir Bukit Melawati digesa daftar di PPS, elak tercicir bantuan
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 12 November 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Mungkin ada penghuni warga emas, jadi sebelum pindah masuk kena bersihkan kediaman dulu. Saya berharap ada bantuan daripada pihak berkenaan untuk pembersihan,” katanya.

Setakat jam 2.11 petang tadi, tujuh PPS dibuka di daerah Kuala Selangor yang menempatkan 1,143 mangsa banjir daripada 317 keluarga.

PPS Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 393, diikuti SRA Kampung Bukit Kuching dengan 283.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved