KUALA LUMPUR - Selepas 13 tahun berjuang, 100 penduduk Lembah Bertam, Cameron Highlands akhirnya berjaya mendapat ganti rugi berjumlah RM4.7 juta susulan banjir kilat yang menimpa mereka.
Peguam, M Manogaran yang mewakili penduduk berkenaan berkata, Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memberikan ganti rugi khas berjumlah RM912,459.76 bagi semua 100 penduduk selaku plaintif.
“Mahkamah juga memberikan ganti rugi am sebanyak RM30,000 bagi setiap plaintif dan tambahan RM10,000 bagi 83 plaintif.
“Mahkamah turut mengenakan faedah sebanyak lima peratus setahun atas jumlah ganti rugi yang dikira daripada 25 Mei 2018 sehingga penyelesaian penuh dibuat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam prosiding untuk keputusan bagi taksiran ganti rugi tersebut penduduk turut diwakili peguam, M Thulsi dan KM Mooresh sementara peguam, Datuk Alvin John hadir bagi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai defendan.
Pada 25 Mei 2018, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan tuntutan saman 100 penduduk berkenaan terhadap TNB apabila memutuskan defendan bertanggungjawab menyebabkan banjir kilat di kawasan itu.
Hakim, Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) berkata, defendan selaku pemilik dan pengendali Empangan Sultan Abu Bakar (ESAB) bertanggungjawab kerana cuai.
Kejadian itu menyebabkan banjir seterusnya mengakibatkan kemusnahan harta penduduk malah kehilangan nyawa.
Pada 11 Disember 2018, defendan mengemukakan rayuan supaya Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengetepikan keputusan berkenaan namun ia ditolak.
Defendan sekali lagi gagal untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam saman itu di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 12 November 2019.
Dalam saman difailkan pada 2 November 2015, penduduk mendakwa defendan telah melepaskan air empangan itu ke Sungai Bertam tanpa memberikan sebarang amaran pada 23 Oktober 2013.





