Mangsa culik disorok dalam homestay, jiran dengar bunyi tembak

9 Aug 2026 • 9:50 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mangsa culik disorok dalam homestay, jiran dengar bunyi tembak

ALOR SETAR – Operasi khas menyelamatkan dua mangsa culik bertukar tegang apabila dua penculik melepaskan tembakan ke arah pasukan polis ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Amira, Telaga Bata, di sini malam kelmarin.

Dalam operasi kira-kira pukul 8.40 malam itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terpaksa berbalas tembakan bagi mempertahankan diri sebelum kedua-dua suspek mati ditembak.

Susulan itu, polis berjaya menyelamatkan dua mangsa culik yang ditemukan dalam keadaan mata ditutup dan tangan bergari di rumah berkenaan, yang dipercayai merupakan sebuah inap desa yang disewa oleh suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, dua suspek dipercayai warga asing disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kira-kira pukul 9.30 malam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mereka.

Katanya, polis juga menemukan dua pucuk pistol semi auto jenis Baretta mengandungi lima butir peluru dan revolver mengandungi empat butir peluru serta sebilah parang panjang berhampiran suspek.

“Operasi berkenaan berjaya menyelamatkan dua mangsa culik, terdiri daripada seorang lelaki dan wanita warga asing masing-masing berusia 70-an dan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, polis kemudian melancarkan beberapa serbuan berasingan dan berjaya menahan enam individu iaitu seorang lelaki tempatan, empat lelaki serta seorang wanita warga asing berusia antara 20-an hingga 40-an.

“Tangkapan dibuat di sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.

“Permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi berkata, dia terkejut apabila menerima banyak mesej kiriman melalui kumpulan WhatsApp daripada jiran yang memaklumkan berlaku kejadian tembakan di taman perumahannya.

Katanya, ketika kejadian dia berada di Sungai Petani bersama keluarga kerana menghadiri kenduri sebelum dimaklumkan jiran bahawa mereka tidak dibenarkan pulang ke taman perumahan berkenaan kerana kawasan itu telah dikawal polis.

“Jiran ada beritahu dia terde­ngar bunyi tembakan ketika mahu membuang sampah di hadapan rumah sebelum terus berlari masuk ke dalam rumah.

“Tidak lama kemudian, kami diberitahu terdapat dua individu yang dipercayai terbabit dalam kes culik ditembak mati,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kedua-dua suspek dipercayai menyewa sebuah inap desa di kawasan perumahan itu, namun kehadiran mereka tidak begitu disedari penduduk kerana sering terdapat penyewa berbeza di inap desa terbabit.

“Mereka menyewa di inap desa di taman perumahan ini dan saya tidak mengenali mereka kerana perwatakan mereka se­perti warga asing.

“Lagipun inap desa di sini se­ring disewa orang berlainan, jadi kami tidak begitu perasan kelibat mereka,” katanya.

Menurutnya, Taman Amira mempunyai kira-kira 50 unit rumah teres dua tingkat yang didia­mi penduduk sejak 2010.

Katanya, kejadian itu mengejutkan penduduk kerana kawasan perumahan mereka sebelum ini aman dan tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu.

“Ketika kejadian, penduduk yang berada di dalam rumah tidak boleh keluar, manakala mereka yang mahu masuk ke taman perumahan juga dilarang berbuat demikian selama kira-kira empat jam bagi memudahkan polis menjalankan siasatan,” katanya.

The post Mangsa culik disorok dalam homestay, jiran dengar bunyi tembak appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved